Calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik bercakap pada sidang media selepas Pelancaran Manifesto PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 03 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik secara sinis mencadangkan agar Barisan Nasional memasukkan isu pengampunan diraja terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, PH tidak menawarkan pengampunan Najib kepada pengundi Johor dan beliau berpendapat, ia lebih sesuai dijadikan manifesto BN sekiranya benar perkara tersebut menjadi agenda besar parti itu.

“Itu bukan sebahagian daripada manifesto kami dan saya rasa BN perlu letakkan perkara itu, iaitu pengampunan Najib, dalam manifesto mereka untuk PRN kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Peluncuran Manifesto Harapan Johor, di sini, hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas kenyataan anak Najib, Datuk Nazifuddin Najib yang berkata kemenangan besar BN pada PRN Johor membawa mesej pengundi mahu bekas perdana menteri itu diberikan pengampunan diraja.

Pada sidang media sama, Maszlee turut diasak mengenai spekulasi sama ada beliau merupakan antara calon berpotensi untuk diangkat sebagai Menteri Besar sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, bekas Menteri Pendidikan itu enggan mengulas perkara tersebut dan menegaskan fokus beliau ketika ini adalah kepada tawaran manifesto PH kepada rakyat Johor.

“Kita sedang bercakap tentang pelancaran manifesto, bukan yang lain,” katanya ringkas. -MaalysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast