PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan akan menentukan pada 4 September ini rayuan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya Datuk Mohd. Nazifuddin sama ada mereka dibenar untuk menangguhkan prosiding kebankrapan yang dijalankan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Prosiding itu dimulakan ekoran kegagalan mereka melunaskan tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab menetapkan demikian selepas mendengar penghujahan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Peguam Kanan Hasil, Norhisham Ahmad.
Beliau bersidang bersama-sama Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan dalam rayuan tersebut.
Najib dan anaknya merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 November tahun lalu yang membenarkan LHDN memulakan prosiding kebankrapan terhadap kedua-duanya selepas menolak rayuan mereka untuk mendapatkan penangguhan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah ketika menyampaikan keputusannya berkata, tiada pembayaran dibuat oleh kedua-duanya setakat ini meskipun selepas penghakiman terus dikeluarkan terhadap mereka.
Oleh yang demikian, beliau berpuas hati, tiada jalan penyelesaian lain yang mewajarkan Najib dan anaknya untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap kedua-duanya.
Terdahulu, Muhammad Shafee yang mewakili kedua-duanya berhujah, wujud keadaan istimewa yang membenarkan prosiding kebankrapan ditangguhkan.
Hujah beliau, ini kerana merit mengenai taksiran cukai tambahan itu masih dalam peringkat rayuan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).
Menurutnya, lebih wajar jika prosiding pendengaran di SCIT diteruskan sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung prosiding kebankrapan itu.
Prosiding di hadapan SCIT bagi kes Najib dijadualkan pada 7 hingga 11 September manakaka kes Nazifuddin pula ditetapkan pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Muhammad Shafee selanjutnya menyatakan Najib dan anaknya tidak sepatutnya dikenakan cukai tambahan yang terlalu tinggi dan membebankan tanpa terlebih dahulu melalui prosiding di hadapan SCIT.
Peguam kanan itu berhujah, prosiding tersebut penting bagi menentukan kesahihan taksiran tambahan cukai yang dikenakan ke atas mereka.
Hujah Muhammad Shafee, tunggakan cukai RM1.69 billion itu bukan pendapatan, sebaliknya jumlah tersebut merupakan sumbangan politik yang tidak boleh dikenakan cukai.
“Anak guam saya sememangnya seorang pembayar cukai namun beliau ditindas. Perkara ini harus dihentikan dan beliau perlu diberi peluang untuk ke prosiding SCIT terlebih dahulu,” hujah beliau.
Sementara itu, Norhisham berhujah, Muhammad Shafee telah mengemukakan hujah ketika di Mahkamah Tinggi, namun ditolak.
Oleh yang demikian, rayuan Najib dan anaknya tidak mempunyai merit dan seharusnya ditolak.
Hujah beliau, keadaan luar biasa tidak wujud kerana seperti kebiasaan, pembayar cukai yang tidak berpuas hati perlu membayar dahulu dan berbincang dengan LHDN, kemudian.
“”Semua pembayar cukai yang tidak berpuas hati, akan datang ke SCIT dan mendakwa bahawa mereka mempunyai kes yang kukuh,” ujarya.
Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri dan anaknya perlu menjelaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Dua Mahkamah Tinggi berasingan sebelum ini membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai daripada Najib dan anaknya bagi tempoh 2011 hingga 2017. – MalaysiaGazette
















