KUALA LUMPUR – Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju industri hartanah dunia apabila dinobatkan Juara Keseluruhan (The Biggest Winner) FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2026 selepas merangkul 14 anugerah di Vienna, Austria.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu membabitkan lapan Pingat Emas dan enam Pingat Perak sekali gus membuktikan keupayaan industri hartanah negara bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan sahaja membanggakan industri hartanah tempatan malah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Ia membuktikan pemaju hartanah tempatan bukan sahaja mampu bersaing, malah berjaya menetapkan penanda aras bertaraf dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kecemerlangan Pemaju Hartanah bersempena FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2026 di sini.

Kor Ming berkata, kejayaan itu mencerminkan konsistensi, dedikasi dan komitmen pemain industri dalam menghasilkan pembangunan berkualiti yang memenuhi standard antarabangsa dari segi inovasi, reka bentuk, kemampanan serta manfaat kepada komuniti.
Katanya, pemaju Malaysia turut meraih dua Pingat Emas menerusi projek yang dibangunkan di Vietnam sekali gus membuktikan kepakaran tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa.
FIABCI World Prix d’Excellence Awards yang dikenali sebagai Oscars of Real Estate merupakan antara pengiktirafan tertinggi dalam industri hartanah global.
Malaysia memenangi lapan Pingat Emas menerusi Park Regent @ Desa ParkCity, The Mansions @ ParkCity Hanoi, Menara Merdeka 118, Elmina Lakeside Mall, Sunway Velocity TWO (Phase 1), Gamuda Gardens dan Diamond Precinct di Vietnam.
Selain itu, enam Pingat Perak dimenangi menerusi Millerz Square @ OKR, The Arcuz @ Kelana Jaya, Precinct Arundina, ROBIN @ IJM Rimbayu, SkyAwani 5 Residences dan Wetlands Arboretum.
Menurut Kor Ming, kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta menjadi kunci utama dalam membina masa depan industri hartanah negara yang lebih mampan, berdaya saing dan inklusif. – MalaysiaGazette
















