KUALA LUMPUR – Insiden Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN- Kuala Terengganu) yang kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) ekoran masalah kesihatan perlu dijadikan peringatan kepada semua wakil rakyat supaya tidak memandang ringan aspek kesihatan dengan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, semua ahli Parlimen perlu mengambil serius program pemeriksaan kesihatan yang disediakan kerana ia mampu mengesan sebarang masalah kesihatan pada peringkat awal sebelum menjadi lebih serius.
Menurut beliau, program pemeriksaan kesihatan ahli Parlimen itu telah dilaksanakan secara berterusan sejak tahun 2023 dan kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya.
Katanya, pemeriksaan tersebut terbukti membantu mengesan pelbagai isu kesihatan lebih awal sekali gus membolehkan langkah pencegahan serta rawatan segera diambil menerusi perubahan gaya hidup, pengambilan ubat-ubatan atau intervensi perubatan yang bersesuaian.
“Program ini telah dilaksanakan secara berterusan sejak tahun 2023 dan kini telah memasuki tahun yang keempat. Pemeriksaan kesihatan ini sangat membantu dalam mengesan sebarang isu berkaitan kesihatan oleh Yang Berhormat di peringkat awal.
“Seterusnya membolehkan langkah-langkah pencegahan serta proaktif melalui pengubahsuaian gaya hidup, pengambilan ubat-ubatan atau intervensi perubatan awal yang bersesuaian dengan segera,” katanya ketika memaklumkan perkara itu di Dewan Rakya hari ini.
Johari turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan sepanjang pelaksanaan program berkenaan serta mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan (KKM) atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakannya.
Beliau berkata, sebarang pertanyaan berkaitan pemeriksaan kesihatan boleh dirujuk kepada Ketua Klinik Kesihatan Parlimen Malaysia, Datuk Dr. Murugesu Raju.
Dalam pada itu, Johari mengingatkan semua ahli Parlimen supaya memberi perhatian serius terhadap kesihatan masing-masing susulan seorang wakil rakyat dilaporkan mengalami masalah kesihatan yang serius.
“Yang Berhormat, sila ambil perhatian dan serius tentang ini. Semalam juga kita mempunyai seorang Ahli Parlimen yang mengalami kesihatan yang serius dan kini beliau berada di IJN,” katanya.
Semalam, Ahmad Amzad hampir pitam di Dewan Rakyat ketika berada di Parlimen pada pagi ini bagi mengikuti sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT).
Pejabat Ahli Parlimen itu memberitahu, Ahmad Amzad turut dijadualkan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024.
Beliau kini telah dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan lanjut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















