Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali ketika sidang media selepas Pelancaran Rasmi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 JULAI 2026

 

KUALA LUMPUR – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) yang dilancarkan semalam, akan menghimpunkan pemain industri pertahanan tempatan dan luar negara, juga pertunjukan demonstrasi di udara dan maritim.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan secara bersama oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak bin Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali; serta Pengerusi Global Exhibition & Conference Sdn. Bhd. (GEC), Jeneral Tan Sri Azizan bin Ariffin TUDM (Bersara).

Pada majlis tersebut, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak turut hadir mewakili serta membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin.

Dalam teks ucapan yang dibacakan oleh beliau, Menteri Pertahanan menegaskan bahawa LIMA kini telah berevolusi jauh daripada sekadar sebuah pameran.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali ketika sidang media selepas Pelancaran Rasmi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 JULAI 2026

“Ia telah menjadi platform strategik yang memperkukuh diplomasi pertahanan antarabangsa, mempercepatkan inovasi teknologi, menggalakkan kerjasama industri, serta mencipta peluang ekonomi yang bermakna buat Malaysia dan rakan antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menambah, sambutan pasca pelancaran awal semasa DSA 2026 amat menggalakkan apabila kira-kira 40 peratus ruang pameran telah pun ditempah dalam tempoh dua bulan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali ketika sidang media selepas Pelancaran Rasmi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 JULAI 2026

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, LIMA’27 membolehkan negara mengenal pasti teknologi dan aset terkini yang mampu memperkukuh keupayaan pertahanan negara selain menjadi medan memperkasakan diplomasi pertahanan dan meningkatkan literasi pertahanan dalam kalangan rakyat melalui penyertaan pelbagai negara.

Ujar beliau, selain itu LIMA’27 juga akan menjadi pentas mempamerkan beberapa aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diperoleh sebelum ini.

“la membabitkan pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries (KAI) dari Korea Selatan, Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ANKA-S Medium Altitude Long Endurance (MALE) serta Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan dipamerkan kepada orang ramai buat kali pertama,” katanya.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman (tengah), Pengerusi Pameran & Persidangan Global, Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin (enam kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali (enam kanan) ketika bergambar bersama rakan strategik semasa Pelancaran Rasmi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 JULAI 2026

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Industri Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Mohd. Nizam bin Mohd. Khir berkata, pelancaran tersebut dihadiri lebih 400 tetamu, termasuk wakil syarikat asing dan tempatan.

Menurut beliau, LIMA’27 akan mengetengahkan beberapa elemen baharu yang mampu memperluaskan kerjasama strategik antara syarikat tempatan dan syarikat asing.

“LIMA bukan sekadar pameran antarabangsa, malah menjadi platform yang menghimpunkan syarikat besar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelbagai pemain industri.

“Ia bukan sahaja untuk mempamerkan setiap produk atau teknologi, tetapi juga untuk menjadi platform pertemuan, contohnya perniagaan ke perniagaan. 

“Terdapat aktiviti sampingan seperti seminar, idea yang semuanya akan digunakan oleh peserta, pempamer dan juga oleh pelawat  untuk bertukar idea selain melihat teknologi baharu yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran LIMA’27 di sini hari ini.

Seperti penganjuran terdahulu, segmen aeroangkasa akan berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), manakala segmen maritim akan diadakan di Resorts World Langkawi (RWL) dari 20 hingga 24 April 2027 di Langkawi, Kedah.

Mohd. Nizam berkata, syarikat tempatan dijangka dapat memanfaatkan LIMA’27 untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat asing, sama ada melalui model perniagaan baharu, usaha sama mahupun pembukaan kemudahan industri pertahanan di Malaysia.

Menurut beliau, kerjasama itu bukan sahaja berpotensi menarik pelaburan asing dalam industri pertahanan, malah membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global dalam sektor tersebut.

Bagi mendepani dinamika tersebut, penganjuran LIMA’27 kali ini dirangka untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab strategik bagi industri pertahanan, maritim dan aeroangkasa. Selari dengan perkembangan landskap keselamatan global, edisi ke-18 ini bakal memberi penekanan komprehensif kepada teknologi pertahanan generasi baharu.

Antara teknologi yang bakal diketengahkan termasuklah sistem autonomi maritim, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, komunikasi satelit, teknologi angkasa lepas, sistem persenjataan berteknologi tinggi serta penyelesaian bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana (Humanitarian Assistance and Disaster Relief – HADR).

Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi tempatan melalui kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan institusi penyelidikan. Ia merupakan usaha berterusan dalam memastikan kesiagaan pertahanan negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Langkah bersepadu melalui diplomasi pertahanan, pembangunan industri, kerjasama teknologi serta perkongsian ilmu ini sekali gus memperkukuh ekosistem pertahanan negara bagi menyokong pembentukan Angkatan Masa Hadapan (AMH) ATM. Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast