Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berucap ketika hadir ke Program Santai Bersama Masyarakat DUN Bukit Permai di Southern Tiger Hub, Kulai. Foto SADIQ SANI, 09 JULAI 2027.

KULAI – Khairy Jamaluddin menyifatkan naratif undi BN dapat Pas dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dimainkan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzi sebagai taktik kotor dan juga Islamofobik.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berharap rakyat tidak ditakut-takutkan dengan cara kempen seperti itu kononnya sedang berlaku gelombang hijau di negeri itu.

“Ini satu bentuk undi (taktik) yang saya agak nampak sangat Islamofobik ya, terutamanya bila perkataan dan juga naratif itu keluar daripada menteri-menteri.

“Contohnya, saya dengar ucapan ceramah daripada Fahmi Fadzil nak menakutkan pengundi Cina kata ada green wave, ada satu gelombang hijau. Saya nak bagi tahu bahawa Barisan Nasional (BN) kita tidak bergabung dengan mana-mana parti.

“Ini gelombang biru, insya-Allah gelombang biru akan akan dicetuskan dan akan kita melihat satu gelombang biru Barisan Nasional pada 11 Julai ini,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas program Santai Bersama KJ dan Jafni di southern Tiger Hub, Bandar Putra di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah calon BN di kerusi Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, calon BN DUN Bukit Batu, R Kumaran dan calon BN DUN Senai, Kiki Tai.

Terdahulu ketika berucap, Khairy berkata, penganjuran debat melibatkan Menteri Besar Johor tidak akan selesaikan masalah rakyat.

“Saya cakap kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar jangan layan debat tapi jaga rakyat Johor dan peduli Johor. Apa yang nak selesai dalam debat? Takkanlah kita nak hantar Menteri Besar kita buang masa untuk berdebat,” katanya.

Tambahnya, orang Johor kenal Onn Hafiz dan sehubungan itu tidak perlu melayan sebarang pelawaan debat.

Hari ini Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu mempelawa Onn Hafiz untuk berdebat kerana kempen Menteri Besar Johor itu didakwa berunsur fitnah dan sentimen burukkan kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast