SEGAMAT – Calon Pakatan Harapan (PH), Jalex Lee En Xiang mendakwa berlaku cubaan sabotaj selepas beberapa bendera PH yang diselitkan dengan logo DAP ditemukan berkibar di DUN Peman Pemanis, hari ini ketika fasa akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor
Lebih mencurigakan, bendera berkenaan didakwa ‘lesap’ sebaik sahaja beliau bersama rombongan selesai meninjau kawasan itu.
Jalex Lee berkata, bendera tersebut ditemui ketika beliau mengiringi Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dalam siri kempen di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sempat merakam gambar bendera itu sebagai bukti sebelum meneruskan program.
“Itu bukan bendera rasmi Pakatan Harapan. Ia adalah bendera yang telah diselitkan dengan lambang DAP.
“Kami sempat mengambil gambar sebagai bukti. Namun apabila melalui semula kawasan itu untuk pulang, bendera tersebut sudah tiada, seolah-olah telah dicabut,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan mengelirukan pengundi, khususnya ketika kempen hanya berbaki dua hari sebelum hari pengundian.
Katanya, laporan polis akan dibuat sekiranya insiden sama berulang.
“Kalau perkara ini berulang, kita akan membuat laporan polis dan kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya kepada MalaysiaGazette
Terdahulu satu video dimuat naik di Facebook milik Dr. Zaliha Mustafa yang jua Ahli Parlimen Sekijang itu, mendakwa tindakan tersebut mempunyai unsur sabotaj bagi mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengundi di DUN Pemanis.
“Saya percaya ini satu unsur sabotaj untuk mengelirukan pengundi di Pemanis. Ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab ketika kempen hanya berbaki dua hari lagi,” katanya.
Sementara itu, Dr. Zaliha turut menafikan bendera berkenaan dipasang oleh jentera PH dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan mencetuskan persepsi negatif terhadap gabungan itu.
Menurut beliau, kempen pilihan raya seharusnya berlangsung secara matang dengan menawarkan dasar dan idea terbaik kepada rakyat, bukannya melalui provokasi.
“Tentunya bukan daripada pihak kita kerana kita tidak mahu pengundi di Pemanis terkeliru. Akhirnya orang akan menuduh kita pula.
“Kita bertanding dalam demokrasi. Perkenalkanlah calon, dasar dan tawaran kepada rakyat, bukannya menggunakan cara seperti ini,” katanya Dr. Zaliha.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menjalankan kempen secara sihat, berintegriti dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi menjelang hari pengundian.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian PRN Johor.
Di DUN Pemanis, pertandingan tiga penjuru menyaksikan Jalex Lee mewakili PH berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Anuar Abd. Manap serta calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ariventharan Anandan.
Pada PRN Johor 2022, Anuar mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh 8,678 undi dengan majoriti 4,187 undi. Calon PKR ketika itu, Yoong Thau meraih 4,491 undi, diikuti calon PN, Uzzair Ismail (3,825 undi) dan calon Pejuang, Azita Amrin (247 undi). – MalaysiaGazette
















