Mohd Hafiz (duduk kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Sah (tengah) dan Syed Hussien Syed Abdullah dalam program santai di Kluang baru-baru ini.

KLUANG – Syed Hussien Syed Abdullah hanya menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota selama 20 bulan bermula September 2024 lalu.

Pengerusi Belia dan Anak Muda Kluang, Mohd Hafiz Mohd Rais berkata, namun penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota itu berjaya menunjukkan prestasinya sepanjang berkhidmat.

“Walaupun dalam tempoh yang singkat itu, Syed Hussien telah melakukan banyak perubahan kepada kumpulan belia di Mahkota dan yakin lebih banyak lagi manfaat boleh dibawa untuk penggal akan datang.

“Sekiranya DUN Mahkota dapat dikekalkan dan Mengkibol berjaya dirampas oleh BN daripada DAP, kita yakin dengan gabungan dua pemimpin muda ini mampu membawa lebih banyak pembaharuan di kawasan bawah pentadbiran mereka.

“Atas perkara seperti ini, kami daripada kumpulan pewaris tidak ragu-ragu untuk memberikan sokongan kepada mereka sebagai wakil suara rakyat di kedua-dua DUN ini,” katanya ditemui hari ini.

Beliau berkata, persatuan tersebut akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Syed Hussien yang sekali lagi dicalonkan di kerusi DUN Mahkota dan juga DUN Mengkibol.

Mohd Hafiz berkata, sokongan tidak berbelah bahagi itu diberikan kerana anak-anak muda di kedua-dua DUN berkenaan percaya calon muda ditampilkan oleh BN boleh membawa manfaat.

Untuk itu, Mohd Hafiz yang juga Naib Pengerusi Gerakan 4B Negeri Johor mengingatkan golongan belia agar bangun seawal pagi yang boleh pagi esok dan bergerak ke pusat mengundi calon pilihan masing-masing bagi menentukan kemenangan mereka.

“Berfikirlah sebaik-baiknya sebelum menentukan pemimpin pilihan agar tidak menyesal kemudian hari kerana memerlukan tempoh lima tahun lagi untuk ditukar kembali,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast