BATU PAHAT – “Saya mengundi sebab teruja lihat di media sosial ramai anak muda kongsi trend ‘jari berdakwat’ menyebabkan saya pun tak mahu ketinggalan.
“Tapi tak tahulah pilihan calon yang kami buat itu betul atau tidak,”demikian keterujaan dikongsi pengundi kali pertama Amni Insyirah Shefiudin, 19, pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat itu yang mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang berkata, pengalaman pertama mengundi juga membuatkan dia tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada proses demokrasi.
“Memang teruja sampaikan malam tadi tak boleh tidur sebab nak kali pertama mengundi dan tengok ramai budak-budak muda nak mengundi sebab nak cop jari tu.
“Tak tahulah sama ada pilihan calon kami betul atau tidak, tapi kami seronok nak ikut trend tunjuk jari yang dah dicelup dakwat,” katanya.

Sementara itu, Nursuhaila Abd Manaf, 31, berkata, keluarganya banyak mempengaruhi keputusan untuk keluar mengundi kerana percaya pemimpin yang dipilih perlu benar-benar membantu rakyat.
Operator syarikat pelancongan itu berkata, dia baru pulang dari Kuala Lumpur bagi menunaikan tanggungjawab mengundi di kampung halamannya di Senggarang.
“Keluarga selalu pesan pilih pemimpin yang betul-betul bekerja dan membantu rakyat, terutama mereka yang memerlukan di kampung dan bukan datang masa berkempen sahaja,” katanya.

Bagi kakaknya, Nurshuhaida, 35, sokongan keluarga, rakan-rakan dan maklumat daripada media sosial menjadi pendorong untuk tidak melepaskan peluang mengundi.
Pembantu perkhidmatan di Damansara itu berkata, mereka saling mengingatkan supaya keluar mengundi demi memilih wakil rakyat yang mampu menjaga kebajikan penduduk di DUN Senggarang.
“Kalau berjumpa calon yang menang nanti, saya cuma nak pesan supaya jaga kawasan ini sebaik mungkin dan tunaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















