Gambar hiasan

ANKARA – Kementerian Kesihatan Turkiye mengenakan denda terhadap lebih 100 pakar obstetrik dan ginekologi (O&G) kerana menjalankan pembedahan untuk mengeluarkan bayi (C-section), selain menggantung mereka daripada tugas serta mewajibkan mereka mengikuti latihan, menurut laporan akhbar BirGun.

Turkiye mencatat kadar kelahiran secara pembedahan C-section tertinggi dalam kalangan 38 negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), berdasarkan data terkini bagi 2023.

Pada tahun itu, kira-kira 615 daripada setiap 1,000 kelahiran hidup di negara berkenaan dilakukan melalui pembedahan Caesarean.

Golongan profesional perubatan memberitahu AFP bahawa pembedahan Caesarean lebih menjimatkan masa bagi petugas kesihatan, iaitu sekitar 30 minit berbanding sehingga 12 jam untuk proses kelahiran normal.

Kaedah itu juga dikatakan mengurangkan risiko tindakan undang-undang akibat komplikasi, selain memberi jaminan keselamatan kepada doktor dan ibu.

Tahun lalu, kerajaan Turkiye melancarkan kempen bagi menangani kadar kelahiran yang semakin menurun menerusi inisiatif “Decade of the Family” yang diperkenalkan Presiden Recep Tayyip Erdogan, sekali gus meningkatkan kawalan terhadap kaedah wanita melahirkan anak.

Erdogan, yang menggalakkan wanita memilih kelahiran secara semula jadi, mahu mengurangkan kadar tinggi pembedahan C-section elektif di negara itu.

Pada April 2025, kerajaannya mengharamkan prosedur tersebut di fasiliti kesihatan swasta tanpa justifikasi perubatan.

Menurut BirGun, lebih 100 doktor telah dikenakan denda kerana melakukan pembedahan C-section, berdasarkan data persatuan perubatan di seluruh negara, sekali gus mencetuskan bantahan dalam kalangan pengamal kesihatan.

Dalam kenyataan di laman sesawangnya, Dewan Doktor Antalya memaklumkan bahawa pakar obstetrik telah diberikan amaran, dikenakan siasatan tatatertib, digantung sementara daripada menjalankan amalan perubatan dan diwajibkan mengikuti kursus latihan penjagaan antenatal berikutan kadar pembedahan Caesarean yang tinggi di negara itu.

Laman berita Diken pula melaporkan seorang pakar obstetrik di sebuah hospital swasta di Sakarya, berhampiran Istanbul, diberhentikan atas permintaan Kementerian Kesihatan kerana mencatat kadar pembedahan C-section yang tinggi, sebelum digantung selama enam bulan.

Sepanjang tempoh itu, doktor terbabit perlu menjalani latihan di hospital kerajaan dan menduduki peperiksaan sebelum dibenarkan kembali menjalankan tugas sebagai doktor jika lulus.

Pegawai kanan Persatuan Perubatan Turkiye (TTB), Dr Ayse Gultekingil berkata, tindakan menghukum doktor tidak akan menyelesaikan masalah kadar pembedahan C-section yang tinggi kerana ia berpunca daripada isu yang bersifat struktur.

“Kadar kelahiran melalui pembedahan C-section di Turkiye melebihi 60 peratus. Namun, kaedah kelahiran itu mencerminkan pelbagai masalah dalam sistem penjagaan kesihatan negara ini,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast