KUALA LUMPUR – Seramai 50 pekerja asrama warga asing berdepan detik cemas selepas sebuah kilang kertas yang terletak bersebelahan saluran paip Petronas terbakar dalam kejadian di Seksyen 35, Kampung Jawa, Shah Alam, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 1.57 pagi.
Susulan itu, seramai 19 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian.

Operasi turut dibantu pasukan dari BBP Sri Andalas dan BBP Klang Utara bersama dua jentera FRT, sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah water tanker.
“Komander Operasi memaklumkan, sebaik tiba mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang kelas B dengan keluasan 100×200 kaki persegi dan peratusan kemusnahan kira-kira 30 peratus.
“Semakan mendapati, kebakaran bermula daripada longgokan kertas dan jarak pili bomba kira-kira 1000 kaki malah tiada sistem kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan mendapati kebakaran berlaku ketika 50 pekerja warga asing sedang tidur dan tiada akses bomba untuk masuk ke bahagian asrama kerana berada di belakang kilang terbabit.
“Asrama itu juga diperbuat daripada kontena namun tiada mangsa yang terlibat dan proses pemadaman menggunakan dua aliran, dua dividing bricing, empat nozel relay pumping pam jentera.
“Bagaimanapun, kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan dan kebakaran berjalan dikawal sekitar 2.30 pagi selain sedang menunggu bantuan excavator bagi memudahkan operasi terbabit,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















