Foto FB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) akan terus istiqamah menjadi suara rakyat, membawa politik yang matang, berintegriti serta mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan semua.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apa jua keputusan yang telah ditentukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, parti gabungan itu menerimanya dengan hati yang terbuka, penuh rasa hormat terhadap proses demokrasi.

“Terima kasih atas kepercayaan, sokongan dan doa yang diberikan. Tahniah dan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRN Johor.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada seluruh jentera PN yang telah bertungkus-lumus sepanjang kempen.

“Pengorbanan masa, tenaga dan komitmen yang dicurahkan menjadi bukti bahawa perjuangan ini digerakkan dengan penuh kesungguhan demi membawa khidmat terbaik kepada rakyat.

“Terima kasih, Johor. Semoga Allah SWT memberkati negeri ini dan seluruh rakyatnya,” tulis di Facebook miliknya hari ini.

Malam tadi, Barisan Nasional berjaya mengekalkan status quo di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam PRN Johor ke-16.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, BN memenangi 48 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini, manakala lapan kerusi lagi berpihak kepada PH.

PN pula gagal memenangi sebarang kerusi di kesemua 33 kawasan Dewan Undangan Negeri yang ditandingi.

Pada PRN kali ini, PN mempertaruhkan 33 calon melibatkan 16 daripada Bersatu, 11 Pas, lima Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP) dan seorang daripada Pejuang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast