SEGAMAT– Kesetiaan dan semangat padu masyarakat FELDA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 disifatkan sebagai bukti keyakinan berterusan terhadap Barisan Nasional (BN) dalam menerajui pembangunan negeri dan menjaga kebajikan warga peneroka.
Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata keputusan yang diterjemahkan melalui peti undi bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya cerminan penghargaan rakyat terhadap rekod perkhidmatan serta komitmen berterusan dalam membela nasib peneroka dan generasi baharu Felda.
“Warga Felda telah membuat pilihan berdasarkan prestasi, pengalaman dan keupayaan sesebuah kepimpinan untuk menyelesaikan isu rakyat, bukan sekadar berlandaskan slogan atau janji.
“Tahniah dan penghargaan dizahirkan kepada seluruh pengundi Felda yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka, sekali gus menyumbang kepada kemenangan besar BN di kawasan-kawasan tanah rancangan,” katanya.
Amizar mengakui kemenangan besar BN di kawasan-kawasan Felda bukanlah suatu kebetulan.
Sebaliknya ia lahir daripada keyakinan rakyat terhadap rekod perkhidmatan, komitmen dan usaha berterusan dalam membela nasib peneroka serta generasi baharu Felda.
Jelasnya sejarah perjuangan peneroka yang membangunkan tanah rancangan dengan titik peluh dan pengorbanan menjadi asas kepada kekuatan komuniti Felda hari ini.

Amizar berkata nilai mengenang jasa, menghargai pengorbanan dan mempertahankan legasi itulah yang terus menjadi pegangan warga Felda dalam membuat keputusan demi masa depan mereka.
“Pada masa sama, semua pihak diingatkan agar tidak sesekali memandang rendah masyarakat FELDA yang telah banyak berjasa kepada pembangunan negara.
“Warga peneroka cukup matang untuk menilai keikhlasan seseorang pemimpin dan membezakan antara khidmat berterusan dengan janji bermusim,” katanya.
ADUN Pelangai itu turut merakamkan penghargaan kepada jentera parti, petugas pilihan raya serta sukarelawan yang bekerja tanpa mengenal penat sepanjang tempoh berkempen.
Ujarnya warga peneroka berjaya menilai dengan bijaksana siapa yang benar-benar ikhlas berkhidmat dan siapa yang hanya hadir ketika musim pilihan raya.
“Kemenangan ini adalah amanah untuk terus memperkukuh agenda pembangunan Felda, menjaga kebajikan rakyat dan memastikan suara warga peneroka sentiasa diberi perhatian.
“Terima kasih kepada seluruh warga FELDA di Johor kerana tidak pernah melupakan dari mana kita bermula,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini Barisan Nasional (BN) memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 8 kerusi. – MalaysiaGazette
















