ALOR GAJAH – Seorang warga emas dilaporkan hilang sejak semalam selepas keluar ke kebun menaiki motosikal di Parit Melana di sini.
Lelaki berusia 78 tahun itu dikatakan tidak pulang ke rumah, sebelum ahli keluarganya membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba, Tc Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.20 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi, pihak polis memaklumkan terdapat seorang warga emas dipercayai hilang di kawasan kebun.
“Menurut ahli keluarganya, mangsa keluar ke kebun dengan menaiki motosikal sejak semalam namun tidak pulang ke rumah sehingga kini,” katanya.
Menurutnya, operasi pencarian oleh Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dijalankan sejak semalam namun mangsa masih belum ditemui.
“Operasi mencari dan menyelamat kini diteruskan oleh anggota bomba dengan melakukan pencarian di sepanjang laluan kebun,” katanya. – MalaysiaGazette
















