Reaksi Kontinjen ketika bacaan Ikrar pada majlis amanat bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Worldskills Shanghai 2026 di Pacific Ballroom C, Seri Pacific Hotel. Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 13 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Semua kontinjen TVET@KKDW yang berjaya meraih pingat emas di WorldSkills Shanghai 2026 bakal menerima ganjaran istimewa  tajaan menunaikan ibadah umrah bersama ibu bapa masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata penyertaan itu menyasarkan untuk melakar sejarah dengan memburu pingat emas Malaysia di pentas pertandingan kemahiran berprestij dunia yang akan berlangsung pada 22 hingga 27 September 2026 di Shanghai, Republik Rakyat China.

Beliau yakin kontinjen berpotensi mencipta kejayaan sekiranya peserta terus memperkukuh kemahiran, meningkatkan disiplin serta mengekalkan fokus sepanjang tempoh persediaan berbaki dua bulan sebelum pertandingan.

“Kali ini, sekali lagi kita meletakkan harapan kepada 22 orang yang akan bertanding dalam 21 bidang kemahiran, termasuklah 9 orang peserta daripada institusi TVET di bawah KKDW iaitu dari TVETMARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan GIATMARA.

“Melalui sembilan wakil peserta di bawah TVET@KKDW, tentunya membuktikan kejayaan TVET@KKDW bukan hanya diukur pada bilangan institusi, jumlah kursus atau angka enrolmen semata-mata.

“Kejayaan sebenar TVET@KKDW ialah apabila seorang anak desa yang dahulu mungkin terbatas oleh geografi, ekonomi dan peluang akhirnya mampu berdiri di pentas dunia dengan kemahiran, keyakinan dan maruah diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW Ke Worldskills Shanghai 2026 di sini hari ini.

Sembilan peserta terbabit akan bertanding dalam sembilan bidang kemahiran iaitu Fashion Technology, Car Painting, Electronics, Cyber Security, Rail Vehicle Technology, Cabinet Making, Digital Construction, Electrical Installations dan Mechanical Engineering CAD.

Mereka turut dibimbing lapan jurulatih serta tujuh pakar negara daripada institusi TVET di bawah KKDW.

Menurut beliau, kejayaan memerlukan persediaan rapi, disiplin latihan, kekuatan mental serta penguasaan standard pertandingan bertaraf dunia.

Beliau turut menegaskan, kepentingan penerapan agenda TVET 2.0 yang memberi penekanan kepada transformasi digital, automasi pintar, robotik, kecerdasan buatan (AI), serta kemahiran teknologi tinggi dan hijau.

Kontinjen TVET@KKDW akan bergandingan bersama 13 peserta lain dalam Kontinjen Malaysia bagi membawa cabaran negara ke WorldSkills Shanghai 2026.

Untuk rekod, pada tahun 2025, seramai 229,121 lepasan SPM dan setara, iaitu 56.86 peratus, telah memilih laluan TVET.

Jumlah enrolmen TVET negara pula mencecah 459,558 pelajar, manakala kadar kebolehpasaran graduan TVET meningkat kepada 95.9 peratus – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast