Calon PH DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad

SEREMBAN – Selepas hampir 18 tahun mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun akhirnya menyerahkan tanggungjawab mempertahankan kubu kuat itu kepada individu paling rapat dalam pentadbirannya, Nor Azman Mohamad pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.

Kepercayaan itu bukan diberikan kepada calon ‘payung terjun’, sebaliknya, Nor Azman, 47, telah menetap di Sikamat lebih 15 tahun selain pernah berkhidmat sebagai imam di Masjid Jamek Ampangan dari 2004 hingga 2011 sebelum menyertai pentadbiran Aminuddin.

Nor Azman diumumkan sebagai calon PH bagi DUN Sikamat oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon PH Negeri Sembilan di Dataran Melang, Kuala Pilah, malam tadi.

Nor Azman berkata, amanah yang diberikan kepadanya bukan sekadar mempertahankan kerusi yang dimenangi Aminuddin sejak 2008, sebaliknya memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan berkenaan.

“Menteri Besar mengambil keputusan keluar daripada zon selesa apabila bertanding di DUN Linggi yang merupakan kerusi tradisi BN. Langkah itu dibuat bagi membantu PH menambah jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh.

“Apabila beliau berpindah ke Linggi, saya diberikan amanah untuk meneruskan khidmat di DUN Sikamat.

“Sudah tentu ia satu tanggungjawab yang besar kerana saya perlu memastikan segala usaha yang telah dibina selama ini dapat diteruskan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan, Loke Siew Fook dan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan Ke-16 di Dataran Melang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 14 JULAI 2026.

Menurut Nor Azman, pembubaran DUN dibuat selepas Negeri Sembilan berdepan kebuntuan politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.

Katanya, keadaan itu berisiko mengganggu urusan pentadbiran termasuk kelulusan belanjawan negeri, justeru mandat baharu daripada rakyat diperlukan bagi membolehkan sebuah kerajaan yang lebih stabil dibentuk.

“Jalan terbaik ketika itu ialah mengembalikan mandat kepada rakyat. Kita berharap memperoleh sokongan yang lebih kukuh supaya kerajaan negeri dapat mentadbir dengan lebih stabil dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan negeri,” ujarnya.

Mengulas keutamaannya sekiranya diberi mandat, Nor Azman berkata, DUN Sikamat kini memasuki fasa berbeza apabila kebanyakan isu kemudahan asas dan infrastruktur telah banyak diberikan perhatian menerusi kerjasama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta pimpinan setempat.

Beliau berkata, tumpuan selepas ini akan lebih menjurus kepada aspek kebajikan penduduk memandangkan majoriti kawasan perumahan di Sikamat telah berusia lebih dua dekad dan dihuni ramai warga emas.

“Apabila kebanyakan isu infrastruktur dapat ditangani, keutamaan kita ialah memastikan kebajikan rakyat terus diperkasakan. Ramai penduduk di Sikamat terdiri daripada warga emas dan mereka memerlukan perhatian yang lebih menyeluruh.

“Saya mahu meneruskan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat, bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal tetapi juga memastikan kesejahteraan penduduk sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya.

Nor Azman yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir, pernah berkhidmat sebagai pegawai penyelidik kepada Menteri Besar pada 2019 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Akhbar sehingga 2022 dan kini menyandang jawatan Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast