NIBONG TEBAL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 10,190 helai jersi tiruan pelbagai jenama terkenal bernilai kira-kira RM509,500 dalam serbuan di dua premis di sini, hari ini.
Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan di premis yang dipercayai dijadikan pusat penyimpanan dan penjualan barangan tiruan sempena musim Piala Dunia FIFA 2026.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan selama kira-kira tiga minggu bersama Cawangan Khas E5, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas pihaknya mengesan peningkatan permintaan terhadap jersi pasukan yang bertanding dalam kejohanan berkenaan.
Menurutnya, siasatan bermula menerusi pembelian ujian (test purchase) terhadap beberapa penjual di platform e-dagang sebelum pihak penguat kuasa berjaya mengesan lokasi operasi sindiket.
“Operasi kali ini dijalankan secara proaktif dan bukan hasil aduan. Kita telah menjangkakan permintaan terhadap jersi Piala Dunia akan meningkat, justeru risikan dimulakan menerusi platform dalam talian.
“Pelbagai kaedah digunakan termasuk mengesan alamat protokol internet (IP address) bagi memastikan lokasi sebenar operasi sebelum serbuan dijalankan.
“Pemeriksaan mendapati premis berkenaan dijadikan lokasi penyimpanan stok, pembungkusan, percetakan serta penghantaran tempahan yang dibuat secara dalam talian,” katanya pada sidang media di lokasi operasi, hari ini.
Tambah beliau, siasatan mendapati jersi tiruan itu dijual pada harga sekitar RM35 hingga RM50 sehelai bergantung kepada gred kualiti.
Beliau berkata, pihaknya percaya ramai pelanggan yang telah membuat tempahan tidak akan menerima jersi berkenaan susulan rampasan yang dilakukan.
“Semua barangan tiruan bersama dokumen perniagaan berkaitan telah disita untuk tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM509,500
“Siasatan dilakukan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan orang ramai diingatkan supaya tidak membeli atau menyokong penjualan barangan tiruan kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengakibatkan kerugian kepada negara serta menjejaskan keselamatan pengguna.
“Jika mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan penjualan barangan tiruan, orang ramai diminta menyalurkannya kepada KPDN untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















