Siti Asiah Ahmad

 

KUALA LUMPUR – Siti Asiah Ahmad dilantik sebagai Ketua Perangkawan Malaysia ke-10, berkuat kuasa hari ini, maklum Kementerian Ekonomi.

Siti Asiah, 51, mempunyai pengalaman hampir 28 tahun dalam bidang statistik ekonomi dan sosial, transformasi digital serta pembangunan dasar berasaskan bukti.

Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Perangkawan pada tahun 1998 dan sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Ketua Perangkawan bagi (Program Ekonomi).

“Pelantikan Siti Asiah mencerminkan keyakinan Kerajaan terhadap pengalaman, kepakaran dan rekod perkhidmatan beliau untuk menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks, statistik rasmi perlu lebih pantas, tepat dan boleh dipercayai supaya kerajaan dapat bertindak lebih awal dan menyasarkan intervensi dengan lebih berkesan,” kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Sebelum pelantikan ini, Siti Asiah bertanggungjawab menerajui penyediaan statistik utama negara, termasuk keluaran Dalam negeri kasar, perdagangan luar negeri serta statistik industri dan perkhidmatan.

Sepanjang perkhidmatan, beliau terlibat dalam pelbagai inisiatif strategik negara, termasuk pembangunan pangkalan data utama, penyediaan statistik kos sara hidup dan pengukuhan Sistem Statistik Negara.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat di Universiti Teknologi Malaysia.

Kepakaran beliau turut diiktiraf melalui penglibatan dalam kumpulan kerja statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN dan organisasi antarabangsa berkaitan.

Kementerian Ekonomi turut mengumumkan pelantikan Norhayati Jantan sebagai Timbalan Ketua Perangkawan bagi Sosial dan Pembangunan Teknikal serta Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri sebagai Timbalan Ketua Perangkawan bagi Ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast