Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dilihat semakin bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan keyakinan kepada sokongan rakyat semakin meningkat selepas pelancaran jentera dan pengumuman calon parti malam tadi.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar berkata, beliau sendiri menyaksikan kehadiran ribuan penyokong berpakaian biru pada majlis berkenaan sambil menyifatkannya sebagai petanda awal kebangkitan BN menjelang hari pengundian.

“Alhamdulillah, semalam saya hadir sendiri dan menyaksikan gelombang biru bertiup kencang dari Johor ke Negeri Sembilan. Kehadiran ribuan penyokong memberikan isyarat bahawa masanya telah tiba untuk BN kembali mendapat mandat rakyat.

“Suasana tercipta membuktikan semangat penyokong BN bukan sahaja masih utuh malah semakin kukuh apabila parti itu mengumumkan 25 calon dari 36 kerusi yang bakal ditandingi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Gulam berkata, pendekatan politik yang dibawa Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selama ini berteraskan kesabaran, ketekunan dan perancangan yang teliti.

“Walaupun pendekatan tersebut kadang kala menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong, Zahid kekal konsisten dengan prinsip slowly but surely dalam mengatur strategi politik,” katanya.

Menurutnya, pengalaman dan kebijaksanaan kepimpinan Presiden UMNO itu dalam menentukan masa yang tepat untuk membuat keputusan merupakan antara faktor penting yang membolehkan BN menyusun langkah lebih berkesan.

“Strategi pengumuman calon BN di Negeri Sembilan sebagai sebahagian daripada elemen kejutan politik yang berjaya menarik perhatian pelbagai pihak termasuk lawan,” katanya.

Katanya, strategi berkenaan disusun berdasarkan penelitian terhadap demografi serta pola pengundian di negeri itu bagi memastikan BN mampu menawarkan barisan calon yang paling sesuai kepada rakyat.

“Elemen kejutan merupakan antara strategi penting dalam politik. Kita telah melihat pendekatan itu digunakan di Johor dan kini di Negeri Sembilan.

“Ia ternyata memberi kesan apabila ramai, termasuk pihak lawan, terkejut dengan strategi yang diguna pakai,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Negeri Sembilan agar memberi sokongan kepada usaha memperkukuhkan kestabilan politik menerusi kerjasama yang diilhamkan Pengerusi BN.

“Kerjasama tersebut wajar diterima secara positif demi memastikan negeri itu terus menikmati pentadbiran yang stabil dan pembangunan yang berterusan,” katanya.

Pada masa sama, Gulam mendakwa naratif politik yang sebelum ini sering dimainkan pihak tertentu terhadap UMNO dan DAP kini tidak lagi relevan sebaliknya rakyat perlu menilai keutamaan kepada kestabilan politik serta masa depan negeri.

“Saya mengajak seluruh jentera dan penyokong BN di Negeri Sembilan untuk terus memperkukuhkan gerak kerja pilihan raya.

“Semangat ‘Hoben BN Hoben’ dan ‘Hoben Sampai Monang’ sebagai simbol keyakinan menghadapi PRN Negeri Sembilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast