KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad membidas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kerana didakwa mempertahankan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berbanding menegur tindakan pemimpin itu yang memperlekeh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurutnya, Dr Muhamad Akmal sepatutnya menegur Mohamad atau Tok Mat yang didakwa memulakan polemik apabila mempersenda keputusan Aminuddin bertanding di DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Akmal sepatutnya gunakan ruang itu untuk menegur Tok Mat, bukannya mempertahankan beliau.
“Bukan saya yang memulakan isu ini. Tok Mat terlebih dahulu memperlekeh Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya hari ini.

Saifuddin berkata, beliau kekal dengan pendiriannya bahawa Mohamad telah bertindak sebagai ‘pembuli politik’ terhadap Aminuddin dan label itu diberikan berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO berkenaan.
“Saya bertegas dengan apa yang saya sebut bahawa Tok Mat adalah pembuli politik terhadap Tok Min.
“Seorang menteri Persekutuan sepatutnya menunjukkan kematangan politik, bukannya memperlekeh keputusan pihak lawan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Dr Muhamad Akmal sebagai individu yang sering melihat kesalahan orang lain tetapi gagal menilai tindakannya sendiri.
“Akmal selalu nampak salah orang lain, tetapi sering lupa akan kesalahan sendiri.
“Budaya melabel bukan perkara baharu kerana beliau sendiri sering menggunakan pelbagai label terhadap pihak lain,” tegasnya.
Menurut Saifuddin, tokoh akademik Prof Dr. Tajuddin Mohamad Rasdi sebelum ini turut pernah melabel Dr Muhamad Akmal sebagai “pembuli politik”, sekali gus menunjukkan istilah itu bukan sesuatu yang baharu dalam wacana politik.
Beliau turut membangkitkan kontroversi membabitkan Dr Muhamad Akmal yang didakwa pernah mengeluarkan kenyataan berbaur anti-Cina sebelum ini.
“Malah apabila beliau memohon maaf, ramai melihat permohonan maaf itu tidak dilakukan dengan penuh keikhlasan. Dalam isu tersebut, MCA juga tidak pernah berani berdiri tegas walaupun kenyataan itu menyentuh sensitiviti masyarakat Cina,” katanya.
Pada masa sama, Saifuddin menggesa Dr Muhamad Akmal memberi tumpuan kepada isu berkaitan kedudukannya sebagai Exco Melaka dan tidak mencampuri pertikaian berhubung kenyataannya terhadap Tok Mat.
“Akmal tidak perlu sibuk dalam perkara ini. Uruskan sahaja soal peletakan jawatan Exco Melaka dengan sebaiknya dan jangan berselindung di sebalik nama Tuan Yang Terutama.
“Kalau tidak faham, bacalah semula Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka, khususnya Fasal 7(6),” katanya.
Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal menerusi hantaran di Facebook mempertahankan Mohamad dengan mendakwa pemimpin BN sering menjadi sasaran pelabelan oleh pihak lawan. -MalaysiaGazette
















