Lautan manusia membanjiri KL Festival Park, Jalan Hang Tuah bagi menyaksikan aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 dalam suasana penuh debaran dan kemeriahan.

KUALA LUMPUR – Laungan penyokong England berselang-seli dengan sorakan peminat Argentina memecah keheningan awal pagi apabila lebih 25,000 pencinta bola sepak membanjiri KL Festival Park, Jalan Hang Tuah bagi menyaksikan aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 dalam suasana penuh debaran dan kemeriahan.

Seawal jam 6 petang, kawasan festival mula dipenuhi pengunjung yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan, lengkap mengenakan jersi pasukan pilihan masing-masing bagi mendapatkan lokasi terbaik sebelum sepak mula.

Apabila perlawanan bermula, tumpuan puluhan ribu peminat terus terarah kepada skrin LED gergasi berukuran 160 kaki x 40 kaki, yang disifatkan sebagai terbesar pernah digunakan bagi acara tontonan awam seumpamanya di negara ini.

Mengangkat tema ‘Biggest Screen, Biggest Roars’, (Sorak Piala Dunia) setiap hantaran, terjahan dan percubaan ke arah gol disambut dengan jeritan serta tepukan gemuruh sehingga suasana di tengah ibu kota bertukar seolah-olah sebuah stadium bola sepak.

MalaysiaGazette turut merasai kemeriahan itu setiap kali bola menghampiri kawasan penalti apabila ada peminat yang bangun daripada tempat duduk serta ada yang menekup muka menahan debaran.

Tidak kurang sebahagian lagi melompat dan berpelukan apabila pasukan pilihan mereka mencipta peluang.

Walaupun masing-masing membawa sokongan berbeza, penyokong England dan Argentina tetap berkongsi ruang dalam suasana harmoni.

Lautan manusia membanjiri KL Festival Park, Jalan Hang Tuah bagi menyaksikan aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 dalam suasana penuh debaran dan kemeriahan.

Lebih menarik, orang ramai tidak dikenakan sebarang bayaran masuk, sekali gus memberi peluang kepada peminat bola sepak daripada pelbagai lapisan masyarakat menikmati pengalaman menonton Piala Dunia di skrin gergasi secara percuma.

Festival itu turut menawarkan pelbagai pilihan makanan menerusi lebih 30 gerai dan trak makanan yang tidak putus-putus dikunjungi sepanjang malam.

Daripada nasi kandar, nasi lemak, ayam geprek, burger, shawarma dan taco hinggalah pelbagai pencuci mulut, kopi serta minuman menyegarkan, pengunjung mempunyai banyak pilihan tanpa perlu meninggalkan kawasan tontonan utama.

Selain aksi di atas padang, suasana turut dihidupkan dengan persembahan artis tempatan, sesi DJ, cabutan bertuah, permainan bertemakan bola sepak, aktiviti penaja serta pertunjukan bunga api yang menambahkan lagi kemeriahan festival.

Lebih 20 ruang pameran pelbagai jenama dan zon permainan turut menjadi tarikan, termasuk aktiviti menjaringkan gol, futsal, permainan bola sepak meja serta pelbagai aktiviti interaktif untuk pengunjung pelbagai peringkat usia.

Sorak Piala Dunia @ KL Festival Park berlangsung dari 14 hingga 20 Julai dengan waktu operasi bermula jam 6 petang setiap hari.

Lautan manusia membanjiri KL Festival Park, Jalan Hang Tuah bagi menyaksikan aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 dalam suasana penuh debaran dan kemeriahan.

Pada hari perlawanan, festival dibuka sehingga jam 6 pagi, manakala pada hari tanpa perlawanan ia beroperasi sehingga jam 1 pagi.

Penganjur menyasarkan kehadiran melebihi 50,000 pengunjung sepanjang tempoh festival, dengan sambutan lebih 25,000 peminat pada aksi England menentang Argentina membuktikan acara itu muncul sebagai antara destinasi tontonan Piala Dunia terbesar di negara ini.

Bagi mereka yang terlepas menyaksikan kemeriahan aksi separuh akhir itu, peluang masih terbuka apabila Sorak Piala Dunia @ KL Festival Park diteruskan sehingga 20 Julai ini.

Orang ramai masih boleh hadir secara percuma untuk menyaksikan perlawanan penentuan tempat ketiga pada 19 Julai sebelum kemuncak final Piala Dunia pada 20 Julai, yang dijangka menghimpunkan lebih ramai peminat bola sepak dari seluruh negara dalam suasana yang lebih meriah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast