SEREMBAN – Pengalaman luas dalam dunia politik sejak bersama Pas sebelum menyertai Pakatan Harapan (PH) menjadi antara kekuatan calonnya di kerusi N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad, untuk menawarkan khidmat kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Nor Azman berkata, beliau bukan individu baharu dalam arena politik kerana pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Pas Negeri Sembilan ketika parti itu masih berada dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.
Menurutnya, pengalaman tersebut banyak membentuk kefahaman mengenai politik berteraskan kebajikan rakyat dan kerjasama antara parti-parti pembangkang ketika itu.
“Saya mempunyai sejarah yang agak panjang dalam politik. Sebelum ini saya pernah bersama Pas dan jawatan terakhir saya ialah Ketua Pemuda Pas Negeri Sembilan. Ketika itu kami berada dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.
“Selepas Pas tidak lagi bersama gabungan tersebut, saya pun tidak aktif dalam politik kepartian,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette ketika melakukan walkabout di Rumah Rakyat Sikamat 2 hari ini.

Beliau berkata, selepas perubahan landskap politik negara, beliau menerima pelawaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk bersama-sama membantu pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, tawaran itu diterima kerana melihat pendekatan yang dibawa Aminuddin selari dengan prinsip perjuangan yang dipegangnya.
“Apabila Datuk Seri Aminuddin menang pada Pilihan Raya Umum 2018, beliau meminta saya membantu pasukan beliau. Saya melihat agenda yang dibawa beliau ialah agenda merakyat, membela masyarakat dan turut memartabatkan syiar Islam.
“Saya merasakan pendekatan itu selari dengan naluri serta perjuangan saya, sebab itu saya memilih untuk bersama beliau,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman tersebut memberinya pendedahan secara langsung terhadap urusan pentadbiran kerajaan negeri selain memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
“Selama lebih tujuh tahun bersama Datuk Seri Aminuddin, saya banyak belajar mengenai pentadbiran, dasar kerajaan negeri dan bagaimana menyelesaikan isu rakyat secara berkesan.
“Pengalaman inilah yang saya mahu bawa sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Azman berkata, walaupun pernah melalui perjalanan politik yang berbeza, fokus beliau kini hanya tertumpu kepada usaha memperkukuhkan PH dan memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri dapat diteruskan.
Beliau percaya pengalaman merentasi beberapa fasa politik memberinya perspektif lebih luas dalam menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.
“Sekarang tumpuan saya adalah berkhidmat kepada rakyat dan memastikan segala usaha pembangunan serta kebajikan yang telah dirancang kerajaan negeri dapat diteruskan demi manfaat penduduk Sikamat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















