Mat rempit yang ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan yang dijalankan di Persiaran Raja Muda Musa (Lebuh Turi), Klang awal pagi tadi. Gambar; Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh motosikal disita, 16 saman dikeluarkan dan satu kes dibuka mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam Op Khas Samseng Jalanan yang dijalankan di Persiaran Raja Muda Musa (Lebuh Turi), Klang awal pagi tadi.

Operasi bersepadu yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu berlangsung dari pukul 12.01 tengah malam hingga 5 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, operasi tersebut bertujuan membanteras kegiatan samseng jalanan, mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas serta meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya demi keselamatan pengguna.

Katanya, operasi berkenaan turut mendapat kerjasama strategik daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Hasil operasi mendapati sebanyak 13 motosikal dan 13 individu telah diperiksa.

“Sebanyak 16 saman PDRM dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, manakala tujuh motosikal disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, satu kes turut dibuka di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Dalam pada itu, seramai 12 individu telah menjalani saringan dadah oleh AADK dan kesemua mereka didapati negatif.

Lim berkata, PDRM akan terus memperhebatkan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti samseng jalanan serta memastikan jalan raya di daerah Klang Selatan kekal selamat, aman dan teratur.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan budaya pemanduan berhemah demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast