KUALA LUMPUR – Sebuah kedai alat ganti motosikal dua tingkat di Kampung Kerdas, Batu 6¼, Jalan Gombak, musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.02 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang tiba di lokasi pada pukul 6.17 petang.
Operasi pemadaman dikawal sepenuhnya pada pukul 7.04 malam dengan bantuan anggota dari BBP Gombak Selatan.
Komander Operasi memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah kedai alat ganti motosikal dua tingkat berkeluasan kira-kira 30 x 70 kaki persegi.
Kebakaran pada awalnya dilaporkan melibatkan tingkat bawah premis, namun api kemudiannya merebak sehingga melibatkan kedua-dua tingkat bangunan.
Namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Selepas operasi selesai, premis berkenaan diserahkan kepada Pasukan Forensik JBPM bagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran. – MalaysiaGazette
















