JOHOR BAHRU – Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) memperketat syarat penganjuran kejohanan bola sepak yang membabitkan penganjur pihak ketiga di melalui pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Keselamatan Pertandingan yang wajib dipatuhi.
Menurut PBNJ, langkah itu diambil susulan satu insiden tragis yang mengorbankan seorang kanak-kanak ketika menyertai sebuah kejohanan bola sepak amatur anjuran pihak ketiga kelmarin.
“Insiden ini menjadi peringatan kepada seluruh komuniti bola sepak bahawa aspek keselamatan pemain, pegawai dan penonton hendaklah menjadi keutamaan dalam setiap penganjuran kejohanan khususnya yang membabitkan golongan kanak-kanak serta remaja.
“Bagi memperkukuh standard keselamatan, beberapa penambahbaikan akan dikuatkuasakan termasuk mewajibkan penganjur mendapatkan sanksi pertandingan daripada Persatuan Bolasepak Daerah (PBD) dan seterusnya daripada PBNJ,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Tegas PBNJ, pemilik atau pengurus fasiliti juga tidak dibenarkan menyewakan atau membenarkan penggunaan padang bagi penganjuran kejohanan bola sepak tanpa bukti Surat Kelulusan Rasmi PBNJ, khususnya kejohanan yang membabitkan kategori umur 7 hingga 17 tahun.
Selain itu, PBNJ turut meletakkan keperluan kehadiran pegawai perubatan atau paramedik bertauliah sepanjang pertandingan yang dilantik badan penganjur.
Jelas PBNJ, ambulans atau kenderaan kecemasan perlu bersedia di lokasi kejohanan sepanjang kejohanan berlangsung.
Pelan Tindakan Kecemasan (EAP) perlu disediakan, penganjur wajib menyediakan pelan tindakan kecemasan termasuk rujukan hospital terdekat serta nombor telefon untuk dihubungi dan pemeriksaan keselamatan padang, kawasan permainan dan kemudahan pertandingan dilakukan sebelum perlawanan bermula.
“Latihan asas CPR dan pengendalian kecemasan perlu kepada pegawai pertandingan. PBNJ turut menganjurkan Kursus Sports Aider yang dianjurkan setiap tahun kepada semua badan sukan bola sepak akar umbi di Johor,” tambah kenyataan berkenaan.
Pada masa sama, PBNJ menegaskan, mana-mana badan penganjur yang gagal mematuhi SOP keselamatan ditetapkan boleh dikenakan tindakan termasuk disenaraihitamkan daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak pada masa hadapan.
Menurutnya lagi, keselamatan bukan sekadar tanggungjawab penganjur semata-mata, malah ia tanggungjawab bersama semua pihak termasuk pengurus pasukan, jurulatih, pegawai pertandingan, ibu bapa dan pemain sendiri.
“PBNJ komited untuk memastikan setiap kejohanan bola sepak di negeri ini berlangsung dalam keadaan yang selamat, profesional dan mematuhi standard pengurusan sukan yang terbaik,” ujar badan induk bola sepak negeri itu
PBNJ turut menzahirkan ucapan takziah yang amat mendalam kepada keluarga mangsa yang terbabit.
Terdahulu media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kejohanan bola sepak bawah 12 Tahun (B-12), semalam.
Mangsa, Danish Hizqeel Mohd Hanif adalah pemain bagi pasukan Shining Academy, sebuah kelab bola sepak yang berpangkalan di Pasir Gudang.
Difahamkan, kanak-kanak berkenaan tiba-tiba rebah ketika sedang beraksi di padang dan disahkan meninggal dunia.
Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR).- MalaysiaGazette
















