Mohamad Hafizal menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Kedai Emas Sri Semantan di Eco Perniagaan, Taman Kota Masai, Pasir Gudang malam tadi.

JOHOR BAHRU – Ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Asia Barat tidak memberi kesan terhadap pasaran emas di negara ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kedai Emas Sri Semantan, Mohamad Hafizal Mahmood.

Menurut beliau, orang ramai ketika ini masih terus berurusan dalam jual beli emas dan pasaran emas dilihat kekal stabil.

Pengasas Kedai Emas Sri Semantan itu memberitahu, penilaian berkenaan adalah berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) harian yang ditetapkan di semua 20 cawangan kedai emas tersebut yang beroperasi di seluruh negara.

“Setakat ini, semua cawangan mencatatkan prestasi yang memberangsangkan. Situasi politik mahupun konflik geopolitik tidak memberi kesan terhadap jualan dan pembelian emas di premis milik syarikat itu.

“Setakat ini, alhamdulillah, kami tidak melihat sebarang kesan daripada faktor politik atau geopolitik. Penjualan dan pembelian emas berjalan seperti biasa.

“Malah, terdapat beberapa cawangan yang berjaya melepasi sasaran KPI harian yang telah ditetapkan,” katanya mengulas mengenai kesan ketidaktentuan geopolitik global terhadap pasaran emas.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kedai Emas Sri Semantan di Eco Perniagaan, Taman Kota Masai di sini malam tadi.

Mohamad Hafizal berkata, permintaan yang berterusan terhadap emas turut mendorong syarikat untuk memperluaskan rangkaian perniagaan dengan membuka lebih banyak cawangan baharu.

“Permintaan sangat memuaskan. Sebab itu kami merasakan sudah tiba masanya untuk terus berkembang dengan membuka cawangan baharu bagi memudahkan pelanggan serta meningkatkan lagi jualan emas.

“Setakat ini, Sri Semantan tidak mengalami sebarang kesan negatif. Malah prestasi perniagaan menunjukkan perkembangan yang semakin baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambah beliau, syarikat itu juga pernah membuka cawangan baharu ketika konflik peperangan sedang berlaku di beberapa negara dan keputusan tersebut ternyata memberi hasil positif apabila perniagaan terus berkembang.

“Alhamdulillah, pembukaan cawangan pada waktu itu berjaya dan sehingga kini prestasi perniagaan terus menunjukkan peningkatan,” katanya.

Mengenai pembukaan cawangan baharu itu yang merupakan kedua di Johor selepas Batu Pahat, Hafizal berkata, pihaknya menawarkan harga potongan sehingga 100 peratus.

Jelas beliau, dalam masa dua hari ini, pihaknya melakukan promosi RM20 untuk setiap kilogram emas yang dibeli.

“Keistimewaan Kedai Emas Sri Semantan adalah tempat yang paling rendah harga untuk membeli emas prelove (emas terpakai) dan tempat yang tinggi untuk menjual emas prelove,” ujarnya.

Tambahnya, pelanggan mereka dari Singapura sebelum ini yang membeli di cawangan di Kajang dan Shah Alam kini boleh membeli di cawangan Pasir Gudang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast