Calon PH N.29 Chuah, Datuk Yew Boon Lye bercakap ketika ditemubual selepas hadir pada sidang media situasi sebenar keputusan pencalonan DUN Chuah, di Hotel Mulyo, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah yang juga penyandang, Datuk Yew Boon Lye tidak menganggap majoriti besar yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu sebagai jaminan kemenangan sekali lagi pada 1 Ogos ini.

Sebaliknya, beliau mengakui berdepan tugas berat dan sukar dalam mempertahankan kerusi itu berdasarkan landskap politik semasa, khususnya melihat kepada keputusan PRN Johor sebelum ini.

“Saya menganggap setiap PRN itu adalah satu cabaran yang besar, malah bukan peluang 50-50 pun, jadi tidak ada istilah berasa selesa atau yakin pada PRN kali ini.

“Rekod kemenangan saya dengan majoriti besar pada PRN lepas tidak boleh dijadikan satu contoh,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Calon PH N.29 Chuah, Datuk Yew Boon Lye bercakap ketika ditemubual selepas hadir pada sidang media situasi sebenar keputusan pencalonan DUN Chuah, di Hotel Mulyo, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2026.

Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Boon Lye memastikan PH kekal di kerusi DUN Chuah selepas menang dengan majoriti besar iaitu 6,298 undi dalam pertembungan satu lawan satu menentang calon PN-Gerakan, Tan Jay Son.

Pada PRN kali ini, Boon Lye sekali lagi diberi amanah sebagai calon PH juga dalam pertembungan satu lawan satu menentang calon BN-MCA, Pau Jeou Ching.

Sementara itu, Boon Lye berkata, meskipun merupakan penyandang, namun beliau tetap memastikan gerak kerja kempen bertemu pengundi dijalankan secara meluas.

Ini kerana, jelasnya, peranan dan tanggungjawabnya sebagai ADUN Chuah sebelum ini tidak terlalu lama memandangkan DUN Negeri Sembilan dibubarkan dalam tempoh yang disifatkan terlalu awal.

“Saya bersama-sama jentera parti PH khususnya PKR sentiasa bekerjasama turun padang bagi memastikan dapat menyantuni seramai mungkin pengundi pelbagai kaum di DUN Chuah,” katanya.

Berdasarkan rekod semasa, DUN Chuah mempunyai seramai 15,129 pengundi berdaftar dengan pecahan kaum Cina sebanyak 53.4 peratus; Melayu (24.8 peratus) dan India (21.1 peratus). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast