Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan Ke-16 di Dataran Melang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 14 JULAI 2026.

DALAM kebanyakan pilihan raya, manifesto lazimnya dipenuhi senarai janji baharu yang mudah diingati, bantuan tunai, insentif atau tawaran populis untuk menarik perhatian pengundi.

Namun pendekatan Datuk Seri Aminuddin Harun dalam melancarkan manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini agak berbeza.

Ucapan beliau tidak dibina di atas deretan janji baharu sebaliknya keseluruhan naratif disusun bagi meyakinkan rakyat Negeri Sembilan sudah berada di landasan yang betul dan hanya memerlukan kesinambungan untuk melangkah ke fasa pembangunan seterusnya.

Sebab itu slogan ‘Lapan Tahun Membina, Lima Tahun Melonjak’ menjadi tunjang kepada keseluruhan manifesto.

Ia bukan sekadar tema kempen tetapi hujah utama PH bahawa lapan tahun lalu digunakan untuk membina asas pentadbiran, mengukuhkan kewangan negeri serta menarik pelaburan, manakala lima tahun akan datang adalah tempoh untuk mempercepatkan hasil daripada asas tersebut.

Calon Pakatan Harapan N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Agung DAP yang juga calon Pakatan Harapan N.01 Chennah, Anthony Loke bergambar sambil menunjukkan risalah manifesto pada Peluncuran Manifesto Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 20 JULAI 2026.

Jika diperhatikan, Aminuddin juga tidak memilih pendekatan menyerang lawan politik sepanjang ucapannya.

Hampir tiada sindiran terhadap Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN). Sebaliknya, beliau berulang kali mengulang perkataan seperti amanah, kestabilan, rekod, masa depan dan keyakinan.

Daripada sudut komunikasi politik, pendekatan itu bukan berlaku secara kebetulan.

PH dilihat cuba membawa PRN Negeri Sembilan keluar daripada polemik politik nasional dan menjadikannya pertandingan berasaskan prestasi pentadbiran kerajaan negeri.

Mesej yang ingin disampaikan mudah, iaitu pengundi tidak perlu membuat eksperimen baharu jika kerajaan sedia ada masih mampu memberikan kestabilan dan hala tuju yang jelas.

Satu lagi perkara yang menonjol ialah bagaimana Aminuddin cuba mengangkat perbincangan melepasi tempoh lima tahun.

Beliau banyak bercakap mengenai generasi akan datang dan negeri yang ingin diwariskan kepada anak-anak.

Dalam suasana kempen yang selalunya tertumpu kepada isu semasa, pendekatan itu memperlihatkan usaha membina keyakinan kerajaan negeri bukan sekadar menyelesaikan masalah hari ini tetapi sedang merancang masa depan yang lebih panjang.

Calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyantuni orang ramai ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pekan Pasir Panjang, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 19 JULAI 2026.

Namun pada masa sama, beliau sedar visi besar sahaja tidak cukup untuk menyentuh hati pengundi.

Sebab itu beberapa persoalan yang dibangkitkan beliau berkisar kepada perkara yang paling dekat dengan kehidupan rakyat seperti peluang pekerjaan, kemampuan memiliki rumah, pendapatan petani, kebajikan warga emas dan sama ada anak muda akan terus memilih untuk membina kehidupan di Negeri Sembilan.

Dengan kata lain, projek mega dan pelaburan hanya dijadikan alat, manakala matlamat akhirnya ialah meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Antara idea paling besar yang dibawa ialah meletakkan Negeri Sembilan sebagai ‘Central Corridor Pembangunan Harapan Malaysia’.

Secara politik, konsep itu cuba mengubah persepsi Negeri Sembilan bukan lagi sekadar negeri yang berada di antara Kuala Lumpur dan Melaka tetapi sebuah pusat pertumbuhan baharu yang menghubungkan teknologi, logistik, industri dan modal insan.

Naratif itu turut disokong dengan penyebutan projek seperti Malaysia Vision Valley 2.0, NS Semiconductor Valley dan Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City.

Walaupun istilah-istilah tersebut mungkin lebih dekat dengan pelabur berbanding pengundi biasa, mesej yang cuba dibina cukup jelas, iaitu Negeri Sembilan mahu mencipta lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi supaya anak muda tidak lagi perlu berhijrah ke negeri lain.

Dalam masa sama, Aminuddin berhati-hati agar pembangunan yang dibawa tidak dilihat terlalu tertumpu kepada industri semata-mata.

Beliau mengimbangi naratif itu dengan menyentuh Adat Perpatih, institusi Islam, alam sekitar, pertanian, desa dan keharmonian masyarakat majmuk.

Ini penting kerana identiti Negeri Sembilan tidak hanya dibentuk melalui kawasan perindustrian seperti Nilai atau Seremban, tetapi juga masyarakat luar bandar yang masih kuat berpegang kepada budaya dan adat.

Analogi Hokkaido yang digunakan dalam ucapan beliau juga memberi gambaran tentang bentuk pembangunan yang ingin ditawarkan.

Bukan meniru Jepun secara langsung, tetapi membina sebuah negeri yang moden, berdaya saing dan menarik pelaburan tanpa mengorbankan identiti tempatan.

Daripada sudut politik, pendekatan ini juga menunjukkan Aminuddin cuba meletakkan dirinya sebagai pemimpin seluruh Negeri Sembilan, bukan sekadar pemimpin PH.

Perkataan Negeri Sembilan jauh lebih kerap diulang berbanding nama parti, manakala frasa seperti anak-anak kita, masa depan negeri dan warisan generasi akan datang menjadi tema utama ucapan.

Strategi sedemikian lazim digunakan oleh pemimpin yang mahu dilihat mewakili keseluruhan rakyat, termasuk mereka yang mungkin tidak mengundi PH sebelum ini.

Bagaimanapun, cabaran terbesar manifesto ini ialah bagaimana semua visi besar itu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai secara langsung oleh rakyat.

Bagi sebahagian pengundi, istilah seperti semikonduktor, kecerdasan buatan atau koridor pembangunan mungkin kedengaran jauh daripada kehidupan harian mereka.

Akhirnya, apa yang akan dinilai ialah sama ada semua pelaburan itu benar-benar membawa peluang pekerjaan lebih baik, meningkatkan pendapatan isi rumah, memudahkan anak muda memiliki rumah dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Itulah ujian sebenar terhadap naratif yang dibawa PH kali ini.

Secara keseluruhannya, manifesto memperlihatkan Aminuddin mengambil pendekatan yang berbeza daripada kebiasaan kempen pilihan raya.

Beliau tidak cuba memenangi hati pengundi melalui janji yang banyak atau serangan politik yang keras.

Sebaliknya, beliau mempertaruhkan rekod pentadbiran, kestabilan politik dan keyakinan terhadap masa depan Negeri Sembilan sebagai modal utama untuk memohon mandat baharu.

Persoalan yang bakal dijawab pada hari pengundian nanti ialah sama ada naratif ‘teruskan apa yang sudah dibina’ lebih meyakinkan pengundi berbanding tawaran perubahan yang dibawa pihak lawan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast