KUALA LUMPUR – Tindakan seorang warga Myanmar disyaki melanggar orang awam dan melarikan diri dalam kejadian di Bulatan Puchong Permai, Puchong akhirnya ditahan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, tangkapan suspek dibuat oleh orang awam dalam kejadian sekitar 11.56 malam.
“Kita telah menerima maklumat berhubung perselisihan faham antara penduduk dengan suspek disyaki melanggar orang awam dan cuba melarikan diri.
“Sebaik polis tiba mendapati, suspek telah ditahan orang awam dalam keadaan separuh sedar.
“Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis bagaimanapun tidak menyatakan lelaki terlibat memandu kenderaan sama ada kereta atau motosikal.
Tambah Wan Azlan, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette
















