SEREMBAN – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding menggunakan logo bunga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan merupakan satu cabaran baharu yang perlu diterjemahkan kepada sokongan rakyat.
Calon Bersatu N.14 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Noor’Azzah Harun berkata, sepanjang sedekad penubuhan Bersatu, parti itu lebih sinonim bertanding bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) namun kali ini bergerak menggunakan identiti sendiri.
“Kita sudah bersama Bersatu selama 10 tahun. Sebelum ini kita berganding dalam PN bersama parti-parti komponen tetapi kali ini kita tampil dengan logo bunga.
“Sudah tentu ia menjadi cabaran kepada kami untuk memperkenalkan kekuatan Bersatu kepada pengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette semasa berkempen di Pasar Ampangan di sini hari ini.

Menurut beliau, cabaran itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat jentera parti yang terus bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
“Saya berdoa semoga Bersatu memperoleh kejayaan bukan sahaja di Ampangan malah di seluruh Negeri Sembilan,” katanya.
Ketika ditanya dua pencabarnya termasuk bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan dan parti kerajaan, Noor’Azzah berkata, pertandingan tiga penjuru tidak seharusnya dijadikan medan membuktikan siapa paling hebat.
“Saya menghormati semua calon kerana masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri tetapi bagi saya, yang penting bukan menunjukkan siapa paling hebat.
“Yang lebih penting ialah bagaimana kita memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Katanya, sekiranya diberikan mandat oleh pengundi, beliau berjanji akan sentiasa turun padang dan mendekati masyarakat bagi menyelesaikan isu yang dihadapi penduduk.
“Saya mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa bersama rakyat, bukan hanya ketika pilihan raya,” katanya.
Selain itu dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia pekerjaan menjadi antara kekuatan yang dipertaruhkan beliau untuk meraih kepercayaan pengundi.
“Sepanjang 30 tahun berkhidmat termasuk 25 tahun bersama TH Properties, saya banyak berurusan dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” jelasnya.

Pengalaman itu membentuk kefahaman mendalam terhadap keperluan rakyat selain mengajar beliau mengenai kepentingan mendengar dan menyelesaikan masalah masyarakat.
“Saya banyak berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat sepanjang kerjaya saya. Pengalaman itu memberikan saya pendedahan luas mengenai keperluan rakyat dan bagaimana sesuatu masalah boleh ditangani secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata, selain kerjaya profesional, pengalaman sebagai isteri dan ibu turut membantu beliau memahami cabaran yang dihadapi keluarga masa kini.
“Sekiranya diberikan mandat pada PRN kali ini, saya mahu membawa pengalaman tersebut untuk dimanfaatkan demi kesejahteraan penduduk Ampangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















