SEREMBAN – Manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan diyakini mampu memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat menerusi penambahbaikan pelbagai skim kebajikan.
Calon PH N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad berkata, manifesto berkenaan bukan sekadar menawarkan janji baharu, malah meneruskan kejayaan pentadbiran kerajaan negeri sepanjang lapan tahun lalu.
Menurut beliau, antara penambahbaikan paling signifikan ialah peningkatan had kelayakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR).
“Sebelum ini kelayakan adalah kepada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah.
“Dalam manifesto kali ini, had itu dinaikkan kepada RM8,000 supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati bantuan seperti bantuan kemasukan ke universiti dan pelbagai skim lain,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas berkempen rumah ke rumah di Taman Pinang Gading, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga bercadang meningkatkan sumbangan keceriaan warga emas berusia 70 tahun dari RM200 kepada RM300.
“Buat pertama kali warga emas berumur antara 65 hingga 69 tahun turut dicadangkan menerima bantuan RM200,” katanya.
Nor Azman berkata, manifesto itu turut menawarkan insentif RM1,000 kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam peperiksaan SPM.
“Keseluruhan manifesto berpaksikan usaha meneruskan pembangunan Negeri Sembilan ke arah mencapai status Negeri Maju 2045.
“Manifesto yang mengandungi 10 teras itu bukan sahaja mengekalkan dasar sedia ada, malah merangka hala tuju lima tahun akan datang,” katanya.
Menurutnya, kejayaan kerajaan negeri menarik pelaburan, mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dan memperkenalkan pelbagai skim kebajikan menjadi asas kepada manifesto berkenaan.
Beliau juga berkata, rakyat boleh meneliti setiap tawaran yang dikemukakan kerana ia disusun berdasarkan keupayaan kerajaan negeri serta pengalaman mentadbir.
“Manifesto PH Negeri Sembilan bukan sekadar menawarkan pembangunan ekonomi, malah memberi penekanan kepada kebajikan rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang dipertingkatkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















