Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan. Foto FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI), pusat data hiperskala dan pengkomputeran awan di Malaysia perlu disokong dengan pembangunan bakat tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin kompleks.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, perkembangan teknologi digital tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya negara gagal menyediakan tenaga kerja berkemahiran untuk mereka bentuk, membangunkan, mengendalikan dan menyelenggara infrastruktur yang menjadi tunjang kepada ekonomi digital.

“Pada hari ini, kecerdasan buatan sedang mengubah setiap sektor namun AI tidak beroperasi secara bersendirian. Setiap aplikasi AI bergantung kepada pusat data yang selamat, rangkaian gentian berkelajuan tinggi, sistem pengkabelan berstruktur, infrastruktur awan serta rangkaian komunikasi yang berdaya tahan.

“Dengan kata lain, tiada ekonomi AI tanpa infrastruktur ICT bertaraf dunia dan tiada infrastruktur ICT bertaraf dunia tanpa tenaga mahir bertaraf dunia,” kata berucap demikian ketika merasmikan BICSI Southeast Asia Conference & Exhibition Malaysia 2026 di Sunway Resort Hotel di sini semalam.

Persidangan dua hari itu yang bertemakan “Memajukan Infrastruktur ICT Demi Masa Depan Terhubung AI” menghimpunkan pemain industri, jurutera, perunding, penyedia teknologi, pengendali pusat data, penggubal dasar dan pemimpin perniagaan dari Malaysia serta negara-negara Asia Tenggara.

Persidangan diadakan ketika Malaysia terus menarik pelaburan yang signifikan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pusat data hiperskala.

Seiring dengan jumlah pelaburan yang diluluskan melebihi RM92.8 bilion pada suku pertama 2026, termasuk RM38.9 bilion dalam sektor ICT menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), serta kapasiti pusat data negara yang dijangka melepasi 4,000MW selepas 2026, keperluan terhadap tenaga kerja ICT berkemahiran tinggi kini menjadi semakin kritikal.

Khairul Firdaus menambah, walaupun kemasukan pelaburan pusat data hiperskala dan infrastruktur digital merupakan perkembangan positif, keupayaan Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan itu dalam jangka panjang bergantung kepada sejauh mana negara mampu melahirkan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi.

Sementara itu, Pengarah BICSI Southeast Asia Affiliate Mary Elizabeth Cheng berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menjadi tuan rumah persidangan itu susulan pertumbuhan pesat negara dalam sektor AI, pusat data hiperskala, pengkomputeran awan dan kesalinghubungan digital. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast