Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Santai Petang Warga Ampangan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Medan Selera Benteng Ampangan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Ampangan memilih kerajaan yang stabil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan dengan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan menjadi faktor penting dalam memastikan pelbagai projek pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan politik.

“Saya cuma minta kerjasama rakan-rakan supaya politik kita stabil. Persekutuan dan negeri bergerak sehala, satu hala dan satu tujuan.

“Kita mahu mengelakkan penyelewengan serta menjaga kepentingan rakyat. Itu yang sedang kita usahakan,” katanya ketika berucap pada program santai bersama penduduk Ampangan di Medan Selera Ampangan, di sini, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata, setiap kerajaan mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki, namun rakyat perlu menilai kesungguhan sesebuah pentadbiran dalam menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya pengundi dapat membuat pilihan terbaik demi kesinambungan pembangunan Negeri Sembilan.

“Saya minta rakyat buat pilihan yang baik supaya kerajaan negeri dapat terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemilihan wakil rakyat bukan sekadar berdasarkan sentimen politik, sebaliknya perlu melihat kepada integriti, keupayaan dan komitmen seseorang pemimpin.

“Pilihlah orang yang ada maruah, yang mahu bekerja untuk semua kaum.

“Insya-Allah masa depan negara dan negeri akan lebih baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast