SEREMBAN – Sikap Pakatan Harapan (PH) yang didakwa semakin angkuh dan enggan mengambil iktibar daripada kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal mengundang satu lagi penolakan rakyat pada pilihan raya akan datang.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Razlan Rafii mendakwa, kepimpinan PH masih gagal memahami mesej yang disampaikan pengundi.
Beliau berkata, sebaliknya PH terus menampilkan diri sebagai “abang besar” dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, tiada mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan bergantung kepada PH kerana setiap parti mempunyai kekuatan dan sokongan tersendiri.
“Tiada isu kebergantungan antara mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan. Semua parti bertaut pada parti masing-masing.
“Keangkuhan PH itu jelas pada mata rakyat yang menolak PH di Johor tempoh hari. Hari ini PH masih meneruskan sikap mahu menjadi abang besar dalam kerajaan.
“Malah PH sering menunjukkan sikap sombong tanpa melihat sebab utama mereka ditolak rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini
Semalam, Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak terlalu angkuh.
Saifuddin menyifatkan UMNO masih bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan imej serta mengekalkan kedudukan parti itu dalam kerajaan.
Razlan juga berkata, walaupun rakyat sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup dan pelbagai masalah harian, PH lebih berminat mempamerkan kekuasaan politik berbanding menyelesaikan isu yang membebankan rakyat.
Beliau mendakwa kerajaan pimpinan PH juga gagal membawa naratif yang mampu meyakinkan pengundi kerana pencapaian yang dijanjikan sebelum ini masih belum dapat dirasai rakyat.
“Teruskan kempen menunjukkan kamu berkuasa tanpa melihat kesengsaraan rakyat hari ini.
“Nak kempen kemajuan, kamu gagal. Nak kempen pelaksanaan janji, kamu gagal. Semuanya gagal apabila mahu bercakap soal kerja yang benar-benar diharapkan rakyat,” katanya.
Razlan turut mendakwa kegagalan PH mengambil iktibar daripada keputusan PRN Johor menunjukkan gabungan itu semakin jauh daripada realiti kehidupan rakyat.
Menurutnya, jika PH terus mempertahankan pendekatan politik yang disifatkannya sebagai angkuh dan tidak mahu menerima teguran rakyat, beliau percaya pengundi akan sekali lagi memberikan mesej yang lebih tegas.
“Teruskan kempen angkuh PH. Insya-Allah, 1 Ogos nanti rakyat akan memberi satu lagi isyarat yang jelas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















