JEMPOL – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan istilah “Perikatan Barisan Nasional” yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai tidak relevan.
Tegasnya, kerjasama yang diwujudkan ini hanyalah persefahaman pilihan raya antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dan bukannya pembentukan sebuah gabungan politik baharu.

“Kita (BN) hanya mengadakan kerjasama antara Barisan Nasional dengan Perikatan Nasional.
“Oleh itu, kenyataan beliau (Hamzah) itu di luar daripada konteks kita bincangkan sebelum ini. Bagi saya istilah itu tidak relevan, ia hanya gabungan semasa ini. Saya pun tak tahu apa tafsiran dia (Hamzah),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Hamzah agar persefahaman antara PN dan BN pada PRN Negeri Sembilan dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).
Namun, setakat ini cadangan itu kini tidak mendapat sokongan daripada pimpinan tertinggi BN yang memilih untuk mengekalkan kerjasama atas dasar persefahaman tanpa sebarang penjenamaan baharu.
Malam tadi, Wan Rosdy menyertai program kempen PRN Negeri Sembilan di Palong 4, di sini, dengan bertemu penyokong dan jentera BN bagi memberi sokongan kepada Calon BN di DUN Palong, Datuk Mustafa Nagoor.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang turut bersama Wan Rosdy juga menegaskan kerjasama pilihan raya dengan PN pada PRN Negeri Sembilan tidak pernah dinamakan sebagai Perikatan Barisan Nasional seperti yang dicadangkan Hamzah.

Jelas beliau, kepimpinan BN tidak pernah membincangkan atau meluluskan penggunaan nama baharu itu.
Ujarnya, kerjasama yang terjalin dengan PH hanya berasaskan persefahaman bagi mengelakkan pertindihan kerusi serta memastikan kemenangan bersama.
“Mengenai Perikatan Barisan Nasional itu kenyataan dia. Kami kepimpinan tak pernah setuju.
“Biar kita bekerjasama dan mempunyai kesefahaman, tidak bertindih kerusi dan sama-sama menang dalam PRN Negeri Sembilan.
“Kalau kita boleh bekerjasama dengan baik, insya-Allah Negeri Sembilan menjadi permulaan dan pencetus kepada suatu penyatuan yang didambakan oleh umat Islam keseluruhannya,” katanya.
Asyraf Wajdi turut mengajak semua pihak mengikhlaskan kerjasama yang dibentuk demi memastikan gabungan itu kembali kukuh dan mampu mentadbir negeri dengan cemerlang sekiranya diberi mandat rakyat.
“Kita kena ikhlaskan. Kita minta Allah rahmati kerjasama ini dan mudah-mudahan dipermudahkan.
“Jangan lupa 1 Ogos. Bila keputusan diumumkan malam itu, saya nak tengok calon-calon kita menyumbang kepada pembentukan kerajaan Barisan Nasional Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Hamzah cadang gabungan BN- PN digelar Perikatan Barisan Nasional
PMX tidak akan berani suruh pemimpin BN letak jawatan – Ahmad Maslan
















