JOHOR BAHRU – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang membangunkan satu rangka kerja keselamatan melibatkan kejohanan bola sepak.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, aspek keselamatan itu nanti membabitkan kejohanan bola sepak termasuk anjuran peringkat akar umbi bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi.
“Kami menyambut baik rangka kerja yang sedang dibangunkan ini dan berharap pelaksanaannya dapat disegerakan supaya insiden seperti pemergian seorang murid semasa kejohanan bola sepak baru-baru ini dapat dicegah pada masa depan.
“Peraturan keselamatan perlu diambil kira daripada pelbagai sudut, termasuklah penyediaan anggota paramedik sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas menziarahi keluarga seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang maut dalam satu kejohanan bola sepak di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.
Pada 18 Julai lalu, kanak-kanak lelaki terbabit dilaporkan rebah ketika bermain bola sepak dalam satu kejohanan sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di sini.
Dr Muhammad Naqib mahu usaha berkenaan diperkenalkan segera untuk mewujudkan langkah-langkah keselamatan bagi sesebuah kejohanan bola sepak, termasuk acara persendirian.
Pihaknya maklum berhubung kejadian menumpaskan kanak-kanak tersebut walaupun tidak dianjurkan mana-mana agensi kerajaan sama ada Pejabat Pendidikan Daerah, mahupun Jabatan Pendidikan Negeri.
“Kerajaan negeri terpanggil untuk menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan kedua-duanya, untuk menyeru semua agensi yang berkaitan termasuk FAM dan pakar-pakar yang terlibat membangunkan satu sistem menambah baik proses serta mencegah insiden sedemikian daripada berulang.
“Dalam acara sukan, impak atau tahap sesuatu kecederaan mungkin berbeza berbanding dengan permainan santai. Oleh sebab itu, satu rangka kerja yang baik amat diperlukan untuk memastikan langkah pencegahan yang lebih berkesan,” katanya.
Jelas beliau, rangka kerja keselamatan tersebut bagaimanapun perlu merangkumi pelbagai acara sukan terutamanya yang berisiko tinggi seperti ragbi kerana mendedahkan pesertanya kepada risiko kecederaan kepala.- MalaysiaGazette
















