Calon BN N.44 Larkin, Mohd Hairi Mad Shah bercakap kepada media ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pasar Malam Kg Melayu Majidee, Larkin. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Pelantikan 10 Timbalan Exco Kerajaan Johor bukan untuk menambah birokrasi apatah lagi membazirkan wang rakyat.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, keputusan tersebut adalah satu langkah progresif dan strategik dalam memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Keputusan kerajaan negeri bertujuan memperkasakan sistem penyampaian kerajaan agar setiap dasar, inisiatif, dan perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, efektif serta menyeluruh.

“Skop tugas Exco ketika ini semakin luas dan mencabar seiring dengan kepesatan pembangunan ekonomi, kemasukan pelaburan asing, projek strategik serta populasi negeri yang kini melebihi empat juta penduduk merangkumi kawasan seluas 19,200 kilometer persegi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, seorang Exco bukan sahaja bertanggungjawab menggubal dasar dan menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, malah perlu turun padang hampir setiap hari untuk memantau pelaksanaan projek pembangunan, menyelesaikan isu rakyat serta menyelaraskan pelbagai jabatan dan agensi.

Katanya, dengan adanya Timbalan Exco, tanggungjawab berkenaan dapat diagihkan secara lebih tersusun tanpa menjejaskan kecekapan pentadbiran.

Jelas Mohd Hairi, pendekatan tersebut bukan satu perkara baharu dalam sistem pentadbiran negara kerana negeri seperti Sabah, Sarawak dan Melaka sudah lama melantik Pembantu Menteri atau Timbalan Exco bagi membantu memperkasakan pelaksanaan dasar kerajaan.

Menyentuh pandangan sesetengah pihak mengenai kos beban kewangan kerajaan akibat pelantikan tersebut, beliau menjelaskan, isu itu perlu dinilai secara objektif berdasarkan fakta dan bukannya persepsi politik semata-mata.

Jelasnya, kerugian akibat kelewatan membuat keputusan, projek yang terbiar tanpa pemantauan serta isu rakyat yang berlarutan sebenarnya membawa implikasi kos yang jauh lebih besar berbanding kos memperkukuh keupayaan pentadbiran.

“Dalam pentadbiran moden, apa yang lebih penting ialah nilai untuk wang (value for money). Jika pelantikan Timbalan Exco mampu mempercepat penyelesaian isu rakyat dan memastikan projek disiap mengikut jadual, manfaat yang diterima rakyat adalah jauh lebih besar.

“Rakyat hari ini tidak menilai kerajaan berdasarkan jumlah jawatan yang diwujudkan tetapi melalui keberkesanan pentadbiran, kelajuan menyelesaikan masalah serta mutu penyampaian perkhidmatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap seluruh rakyat Johor dapat melihat pelantikan berkenaan daripada sudut positif demi merealisasikan aspirasi Agenda Maju Johor.

Mohd Hairi turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua Timbalan Exco yang dilantik dan menggesa mereka menjalankan amanah dengan penuh integriti, profesionalisme serta semangat berpasukan demi kemajuan Bangsa Johor.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Lantikan 10 Timbalan Exco Johor bazirkan duit rakyat -MUDA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast