SEREMBAN – Dakwaan Kerajaan Negeri Sembilan berdiam diri berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan di beberapa kawasan termasuk Kampung Pasir adalah cubaan mengelirukan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil menjelaskan, isu yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, ia berpunca daripada sepucuk surat bertarikh Julai 2022 dihantar kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, bagaimanapun tindakan susulan sudah diambil sebelum ini.

“Sebaik menerima aduan berkenaan, Pejabat Menteri Besar telah berhubung dengan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban bagi menjalankan siasatan sebelum mengenal pasti 12 rumah didapati menceroboh tanah milik kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jelasnya, dari jumlah itu, beberapa penghuni telah diuruskan untuk pemindahan, manakala lima keluarga ditawarkan rumah mampu milik kerajaan negeri sebagai penyelesaian kepada isu berkenaan.

“Proses pemindahan sedang berjalan, manakala bagi baki rumah yang dikenal pasti, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban telah menyediakan kertas cadangan serta maklum balas untuk dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, hanya proses membuat keputusan tertangguh selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada awal Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN, sekali gus menyebabkan beberapa keputusan pentadbiran perlu menunggu pembentukan kerajaan baharu.

Menurutnya, tindakan itu membuktikan kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan aduan berkenaan seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu.

“Terdapat usaha pihak tertentu memanipulasi dokumen lama bagi mewujudkan persepsi bahawa kerajaan negeri gagal bertindak.

“Hakikatnya, tindakan sudah diambil jauh sebelum tempoh pilihan raya. Malah, kerajaan negeri kini turut mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan palsu atau maklumat yang mengelirukan berhubung isu ini,” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan naratif yang menggunakan dokumen lama tanpa menjelaskan perkembangan sebenar kes berkenaan.

Katanya, isu tersebut sepatutnya dilihat berdasarkan fakta dan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, bukannya dijadikan modal politik untuk membentuk persepsi negatif terhadap pentadbiran PH menjelang hari pengundian.

“Kerajaan negeri komited menyelesaikan isu pencerobohan tanah secara berperingkat dengan mengambil kira aspek kebajikan penduduk.

“Ini termasuk menyediakan penempatan alternatif kepada mereka yang layak, di samping memastikan tanah milik kerajaan tidak terus diceroboh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast