SEBERANG PERAI – Taktik sindiket menyeludup masuk lebih lapan juta batang rokok bernilai lebih RM9.1 juta ke negara ini terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memeriksa sebuah kontena di Westports Malaysia Sdn. Bhd., Pelabuhan Klang, Selangor pada 24 Jun lalu.
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hasbollah Din berkata, pemeriksaan kira-kira jam 11.15 pagi itu mendapati kontena berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan selepas diikrar sebagai PE (Polyethylene) Tarpaulin atau kanvas plastik.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 815 ‘master case’ yang mengandungi 8,150,000 batang rokok putih disyaki tidak berkastam.
“Barangan yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM9,144,300 termasuk duti,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut Hasbollah berkata, siasatan mendapati kontena berkenaan dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan dan logistik yang mempunyai cawangan di Subang Jaya, Selangor.
“Berdasarkan dokumen yang diperoleh, dagangan berkenaan dipercayai berasal dari sebuah negara di Asia Tenggara dan disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan.
“Kita turut memanggil pengurus syarikat perkapalan terbabit, seorang lelaki berusia 50-an, bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Hasbollah berkata, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras selepas menahan sebuah lori di susur keluar Plaza Tol Bukit Tambun (Utara) di Simpang Ampat, Nibong Tebal pada 29 Mei lalu.
Katanya, pada operasi kira-kira jam 2.15 petang berkenaan, pemandu dan kelindan berusia 30-an ditahan bersama 5,904.48 liter minuman keras bernilai RM167,244.40 yang disyaki tidak berkastam.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette
















