JELEBU – Kebimbangan terhadap peningkatan kes buli di sekolah mendorong firma guaman Aimee & Zaim Arif tampil menggerakkan inisiatif turun padang ke sekolah dan kolej bagi memberi kesedaran mengenai implikasi undang-undang kepada pelajar serta warga pendidikan.
Walaupun digelar sebagai misi ‘memburu pembuli’, tujuan utama program tersebut adalah mendidik, mencegah dan memberi pendedahan bahawa perbuatan buli bukan sekadar melanggar disiplin sekolah malah boleh membawa kepada tindakan sivil atau jenayah bergantung kepada keadaan sesuatu kes.
Setakat ini, pasukan peguam firma itu telah mengadakan ceramah di lebih 10 buah sekolah dan kolej dengan memberi penerangan mengenai hak mangsa, tanggungjawab pelajar, peranan guru serta tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap pembuli.
Pengasas firma, Zaim Arif berkata, kesedaran undang-undang perlu diterapkan sejak di bangku sekolah supaya pelajar memahami bahawa setiap perbuatan mempunyai akibat.
“Kami tidak datang untuk menakutkan pelajar sebaliknya mahu mereka faham buli boleh meninggalkan kesan sepanjang hayat kepada mangsa dan pelakunya juga boleh berdepan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Zaim berkata, guru dan warga pendidikan juga perlu diberikan pendedahan mengenai aspek perundangan supaya setiap aduan buli dapat ditangani dengan lebih berkesan dan mengikut prosedur yang sewajarnya.
Program terbaharu di Sekolah Kebangsaan Durian Tipus turut dihadiri Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jempol dan Jelebu, Anwar Rahim selain guru besar, Guru Hal Ehwal Murid (HEM) dan kaunselor daripada lapan sekolah berhampiran.
Pada majlis sama, Zaim turut menyampaikan sumbangan RM1,000 bagi membantu menjelaskan tunggakan yuran pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial firma.
Menurut beliau, pendidikan undang-undang perlu bermula di sekolah kerana mencegah lebih baik daripada berdepan tindakan mahkamah selepas sesuatu insiden berlaku.
Firma Aimee & Zaim Arif menyasarkan untuk memperluaskan siri jelajah ini ke lebih banyak sekolah dan kolej sebagai usaha membina budaya sifar buli serta meningkatkan kesedaran undang-undang dalam kalangan generasi muda. – MalaysiaGazette
















