Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa pelik apabila ada pihak yang tidak mahu beliau membangkitkan berkenaan masalah rasuah yang melanda negara.

Sedangkan, tegas Perdana Menteri, apa yang dibangkitkan beliau itu bukan fitnah atau tuduhan palsu, sebaliknya berkaitan aspek tatakelola yang perlu diperbetulkan.

Beliau turut memberikan contoh terhadap apa yang berlaku dalam pengurusan Felda yang mengalami kerugian RM10 bilion akibat kelemahan tatakelola yang dibuktikan menerusi siasatan audit.

Begitu juga, ujarnya, dalam isu melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH) yang mana kerajaan kini terpaksa menanggung kerugian berbilion ringgit.

“Saya tahu setengah orang dia tak suka bila saya sebut (berkenaan rasuah dan `sakau’), jangan sebut, jangan sebut.

“Jangan sebut rasuah, jangan sebut sakau. Agak pelik tak? Saya agak pelik. Kalau kita fitnah itu lain.

“Ini yang kita sebut jangan sakau. Ini yang kita sebut tatakelola. Ini yang kita sebut mesti cari pemimpin yang amanah, yang ikhlas,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan, di Dewan The Grand, Lukut di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama ahli JPKK Negeri Sembilan pada Majlis Ramah Mesra YAB Perdana Menteri bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Negeri Sembilan di The Grand Lukut, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 27 JULAI 2026.

Program itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Menurut Anwar, penegasan beliau dalam menolak amalan rasuah dan sakau itu juga bagi memastikan setiap pemimpin yang dipilih rakyat termasuk di peringkat JKPP benar-benar mementingkan aspek tatakelola.

Dalam masa sama, ujarnya, JKPP juga perlu sealiran dengan kerajaan negeri dan kepimpinan Menteri Besar yang diketahui mempunyai rekod pentadbiran yang baik seperti ditunjukkan oleh Aminuddin.

“Sebab itu saya minta dan beri amanah kepada JKPP semua, bekerjalah, bagilah penerangan yang baik (kepada rakyat).

“Pertahankanlah kerajaan yang rekodnya baik dan jagalah kedudukan Aminuddin sebagai Menteri Besar, supaya kita boleh kerja secara berpasukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast