KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memeterai Perjanjian Pembekalan Elektrik (ESA) dan Perjanjian Pembekalan Tenaga Pendinginan (CESA), hari ini.
Menerusi ESA, TNB akan membekalkan elektrik voltan tinggi kepada Loji Rawatan Air Sungai Rasau di Kuala Langat, Selangor iaitu loji rawatan air terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti rawatan sebanyak 1,400 juta liter sehari (MLD).
Apabila siap sepenuhnya pada tahun 2031, loji tersebut dijangka membekalkan air terawat bersih dan selamat kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurut TNB, perjanjian itu juga menjadikan Loji Rawatan Air Sungai Rasau sebagai loji rawatan air pertama di Malaysia yang menerima bekalan elektrik voltan tinggi secara terus pada voltan 132 kV.
Ia sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan serta kecekapan operasi salah satu aset infrastruktur air paling strategik negara.
“Selain kerjasama tersebut, TNB melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC), juga akan membekalkan perkhidmatan Gas District Cooling kepada fasiliti Air Selangor di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.
“Kerjasama menerusi CESA dengan konsesi selama 20 tahun itu menjadikan Air Selangor sebagai syarikat utiliti air pertama di Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pendinginan lingkungan,” kata TNB dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, melalui perkhidmatan TNEC, fasiliti berkenaan dijangka menikmati kebolehpercayaan sistem yang lebih tinggi, prestasi tenaga yang lebih mantap serta kecekapan operasi yang lebih baik berbanding sistem pendinginan konvensional secara kendiri.
Pertukaran perjanjian tersebut disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad, dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Majlis tersebut disaksikan Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga Pengerusi Air Selangor.

Foto TNB
Shamsul berkata, kerjasama tersebut membuktikan bagaimana integrasi yang lebih erat antara sektor tenaga dan sektor air mampu memperkukuh daya tahan infrastruktur kritikal negara, sekali gus menyokong agenda pembangunan jangka panjang Malaysia.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen TNB dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang inovatif dan mampan.
“Dengan menggabungkan kepakaran kami bersama Air Selangor, kami mencipta nilai yang memberi manfaat kepada pelanggan, memperkukuh perkhidmatan utiliti penting serta menyumbang kepada masa depan Malaysia yang lebih lestari,” katanya.
Sementara itu, Adam Saffian berkata kerjasama tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Air Selangor untuk memastikan bekalan air terawat yang bersih dan selamat disalurkan secara berterusan kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Sebagai penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia serta ahli kepada Leading Utilities of the World (LUOW), memastikan operasi yang cekap, berdaya tahan dan mampan merupakan teras kepada janji jenama kami untuk menyampaikan kegembiraan dalam setiap titisan kepada para pengguna, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor sebagai antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.
Kerjasama itu turut mengukuhkan peranan saling melengkapi antara TNB dan Air Selangor dalam memastikan kesinambungan dua utiliti awam paling kritikal negara.
Melalui integrasi penyelesaian tenaga yang inovatif dengan infrastruktur air yang strategik, kedua-dua organisasi terus menyokong aspirasi Kerajaan untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan air negara, di samping mempercepat penggunaan teknologi mampan dalam pembangunan infrastruktur kritikal. -MalaysiaGazette
















