Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Kedutaan Malaysia di Seoul, Korea Selatan sedang memberikan bantuan yang diperlukan kepada keluarga rakyat Malaysia yang maut selepas dipercayai ditikam dalam pergaduhan berkumpulan di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, awal pagi semalam.

Kementerian Luar Negeri berkata, pihak kedutaan telah berhubung dengan waris mangsa dan sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya, termasuk memudah cara urusan dokumentasi, pengurusan pengebumian serta penghantaran pulang jenazah ke Malaysia.

Menurutnya, beberapa rakyat Malaysia turut terlibat dalam siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Republik Korea.

“Kedutaan akan terus mendapatkan maklumat yang telah disahkan daripada pihak berkuasa Korea Selatan di samping memberikan bantuan konsular yang bersesuaian kepada rakyat Malaysia yang terbabit, selaras dengan undang-undang negara itu serta obligasi antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan komitmennya untuk terus melindungi kebajikan serta kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Media melaporkan, dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 3 pagi di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong itu, terdapat dua kumpulan yang masing-masing disertai mangsa dan suspek terbabit dalam pergaduhan besar.

Difahamkan, kira-kira 10 individu dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu sebelum suspek didakwa mengeluarkan pisau dan menyerang mangsa.

Akibat kejadian tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi individu mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Selepas kejadian, suspek dilaporkan melarikan diri ke sebuah kediaman berhampiran, namun berjaya diberkas polis kira-kira sejam kemudian. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast