Ab Rahaman menunjukkan antara barangan yang dirampas selepas melumpuhkanbdua sindiket, dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 335 ahli sindiket diberkas termasuk warga asing selepas serbuan dilakukan dua pusat calling centre yang menjalankan aktiviti penipuan dalam talian di Forest City, Iskandar Puteri pada 15 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, menerusi operasi bersepadu itu, pihaknya menahan suspek terdiri daripada 309 warga China, 19 warga Indonesia, empat warga Myanmar dan tiga warga tempatan.

“Mereka berusia antara 20 hingga 58 tahun yang ditahan dalam operasi secara serentak ke atas 27 unit apartmen dan lima banglo yang dijadikan pusat operasi sindiket berkenaan.

“Operasi ini berjaya melumpuhkan dua sindiket berbeza yang menjalankan kegiatan penipuan dalam talian seperti tawaran pelaburan mata wang kripto dan love scam dengan menyasarkan mangsa dari luar negara khususnya China dan Indonesia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan turut membawa kepada rampasan 313 unit komputer, 1,557 telefon bimbit, 17 komputer riba, 10 modem, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-8 serta pelbagai peralatan lain yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Siasatan awal mendapati kumpulan pertama membabitkan seramai 279 individu dan dipercayai menjalankan penipuan pelaburan mata wang kripto serta love scam.

Beliau memberitahu, sindiket itu menggunakan aplikasi Telegram, WhatsApp dan TikTok bagi mencari mangsa sebelum menawarkan pulangan pelaburan tidak wujud.

Mereka dipercayai bertindak sebagai ejen pencari pelanggan dan dijanjikan gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM4,000.

Ab Rahaman berkata, kumpulan kedua pula membabitkan seramai 56 tangkapan membabitkan 54 warga China dan dua warga tempatan.

“Kumpulan ini disyaki menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai firma guaman selain menawarkan pelaburan dan pelaburan mata wang kripto palsu kepada mangsa di luar negara,” katanya.

Siasatan juga mendapati sebahagian warga asing yang ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Ab Rahaman berkata, sebanyak 23 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Setakat ini 14 kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan arahan pertuduhan diperoleh terhadap 194 orang kena tuduh (OKT).

“Seramai 159 OKT akan dituduh hari ini manakala baki 35 lagi akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok. Sembilan lagi kertas siasatan masih menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Mengulas sama ada sindiket itu mempunyai kaitan dengan isu pusat latihan warga asing yang pernah dibangkitkan di Forest City sebelum ini, beliau menegaskan, siasatan mendapati kedua-dua perkara itu tidak mempunyai sebarang hubungan.

Beliau berkata, polis percaya dalang utama sindiket masih bebas dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan termasuk melalui kerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast