Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR –  Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengeluarkan amaran kepada rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran pekerjaan di Taiwan selepas mendapati negara itu kini muncul sebagai destinasi baharu sindiket memperdaya mangsa sebelum dieksploitasi untuk kegiatan jenayah.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat tidak rasmi membabitkan hampir 700 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket berkenaan, menunjukkan trend kes semakin membimbangkan.

Menurut beliau, jika sebelum ini majoriti mangsa terdiri daripada masyarakat Cina kini semakin ramai anak muda Melayu turut menjadi sasaran sindiket yang menggunakan pelbagai helah bagi menarik mangsa ke luar negara.

“Daripada maklumat yang kita terima, trend ini semakin menjadi-jadi. Anak-anak Melayu juga sudah menjadi mangsa eksploitasi sindiket dan destinasi yang semakin banyak dikaitkan dengan kes ini ialah Taiwan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, MHO turut menerima sekurang-kurangnya 23 aduan baharu yang mempunyai modus operandi hampir sama apabila mangsa ditawarkan pekerjaan kononnya sebagai pengawal peribadi atau pengiring dengan bayaran lumayan.

Kebanyakan mangsa tidak menyedari tawaran berkenaan hanyalah umpan kerana sebaik tiba di Taiwan mereka dipaksa melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang.

“Mereka diberitahu kerja sebagai pengawal atau escort tetapi apabila sampai di sana mereka dipaksa melakukan sesuatu yang lain. Akhirnya mereka ditahan, disiasat dan didakwa oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” ujarnya lagi.

Hishamuddin berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah sindiket kini tidak lagi menggunakan tawaran pekerjaan tetap di syarikat seperti sebelum ini sebaliknya menawarkan kerja sambilan yang sukar disemak kesahihannya.

Menurutnya, peningkatan jumlah kes itu juga menyebabkan MHO meletakkan red flag terhadap Taiwan sebagai destinasi berisiko tinggi yang perlu diberi perhatian.

“Jika angka hampir 700 mangsa ini benar, ia amat menakutkan. Sebelum ini kita hanya memberi perhatian kepada Kemboja, Laos dan Myanmar, tetapi kini Taiwan juga perlu dianggap sebagai destinasi berisiko tinggi untuk rakyat Malaysia dieksploitasi,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast