Temubual Skop MG bersama Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia (ARMADA) menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang menarik balik dua darjah kebesaran negeri daripada Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, langkah tegas yang diambil pihak Istana Negeri Sembilan itu amat wajar demi memelihara kemuliaan dan kehormatan Institusi Diraja.

Menurutnya, penglibatan bekas Yang di-Pertua Dewan Negara itu dalam kemelut membabitkan Undang Yang Empat disifatkan sudah melampaui batas.

“Tindakan beliau yang cuba menjustifikasikan gerakan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar atas kapasiti jawatan penasihat undang-undang luak didapati sengaja mengeruhkan krisis adat sekali gus mencabar keabsahan institusi tertinggi negeri.

“Armada menegaskan tiada mana-mana individu, tanpa mengira status atau latar belakang politik yang boleh mengatasi atau memperlekehkan kedaulatan institusi payung negeri,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, tindakan mencampuri urusan pelantikan dan kedaulatan Istana secara terbuka bukan sahaja mengheret institusi diraja ke dalam kancah polemik, malah berisiko meruntuhkan keharmonian masyarakat yang berteraskan sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Terdahulu, Istana Negeri Sembilan mengumumkan penarikan balik Darjah Seri Paduka Negeri Sembilan (S.P.N.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama yang dikurniakan pada 2001, serta Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S.) yang membawa gelaran Dato’ yang dikurniakan pada tahun 1979 daripada Rais Yatim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast