Sebahagian PATI yang ditemui selamat selepas bot yang membawa 27 orang warga Indonesia karam di Teluk Ramunia, Pengerang, sebelum ini. foto Maritim Johor

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menafikan video yang tular dalam media sosial berhubung dakwaan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di pantai barat Johor, bulan ini.

Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, pihaknya sudah menjalankan semakan serta penilaian terhadap kandungan video tular berkenaan.

“Hasil risikan dan siasatan terhadap kes-kes terdahulu mendapati tiada bukti yang mengesahkan modus operandi seperti yang dipaparkan dalam video tersebut.

“Malah, kami tidak menolak kemungkinan kandungan sedemikian digunakan sebagai taktik penipuan oleh pihak tertentu bagi memperdaya individu yang ingin mendapatkan khidmat membawa masuk atau keluar pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam kenyatan.

Menurut beliau, sindiket penyeludupan migran sentiasa mengubah modus operandi bagi mengelakkan pengesanan termasuk menggunakan bot fiber berenjin kecil yang menyerupai bot nelayan tempatan.

Selain itu katanya, pihak sindiket turut menukar lokasi pendaratan serta memilih waktu operasi yang sukar dikesan.

Beliau menegaskan, Maritim Johor akan terus memperkukuh kawalan keselamatan perairan negeri menerusi rondaan, operasi penguatkuasaan dan risikan secara berterusan bagi mengekang cubaan penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan melalui laluan laut.

Katanya, sepanjang tempoh 2024 hingga bulan ini, Maritim Johor sudah berjaya mematahkan 13 cubaan penyeludupan migran melalui laluan laut.

Daripada jumlah tersebut katanya, enam kes direkodkan pada 2024, empat kes pada 2025 dan tiga kes bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Kama Azri memberitahu, kejayaan itu membuktikan keberkesanan pelaksanaan operasi bersepadu, tindakan risikan yang berterusan serta tahap kesiapsiagaan anggota dan aset maritim dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.

Tegasnya, Maritim Johor tidak pernah berkompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh sempadan negara melalui laluan laut dan akan terus mempertingkat operasi berdasarkan penilaian ancaman semasa.

“Setiap maklumat yang diterima, termasuk yang diperoleh menerusi media sosial, akan dinilai, disemak dan disahkan terlebih dahulu sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan. Pendekatan berasaskan risikan yang sahih dan bukti yang kukuh menjadi asas kepada setiap tindakan Maritim Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Maritim Johor akan terus memperhebat rondaan, memperkukuh keupayaan risikan dan meningkatkan kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan sebarang cubaan menceroboh perairan negara dapat dikesan serta ditangani dengan segera.

Beliau turut menyeru komuniti maritim, nelayan dan penduduk pesisir pantai agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di laut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau pencerobohan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07-219 9400 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast