Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin

KUALA PILAH –  Pengalaman lebih enam dekad Barisan Nasional (BN) mentadbir negara membuktikan politik berasaskan perkauman tidak pernah menjadi asas  gabungan itu, kata Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.

Beliau berkata, rakyat seharusnya menilai rekod pentadbiran BN sepanjang lebih enam dekad itu memerintah negara dan bukan terpengaruh dengan pelbagai dakwaan atau fitnah yang dimainkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, kempen kini memasuki minggu kedua menyaksikan pelbagai isu dibangkitkan termasuk dakwaan politik wang dan sentimen perkauman yang disifatkannya sebagai cubaan mengelirukan rakyat.

“Pada saya, pengalaman lebih 60 tahun BN mentadbir negara membuktikan isu perkauman tidak pernah menjadi dasar pentadbiran kita.

“Sepanjang tempoh itu, tidak pernah berlaku seseorang dinafikan haknya hanya kerana dia Melayu, Cina atau India,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Terachi di sini hari ini.

Megat Zulkarnain berkata, begitu juga tidak pernah berlaku harta seseorang dirampas semata-mata kerana bukan Melayu atau bukan beragama Islam.

“Semua rakyat mempunyai hak yang sama dalam negara ini. Kekayaan negara perlu dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Sesiapa yang rajin berusaha, mereka berhak menikmati kemakmuran hasil titik peluh sendiri. Itulah yang berlaku selama negara ini ditadbir BN,” ujarnya.

Megat Zulkarnain berkata, rekod pentadbiran tersebut sepatutnya dijadikan kayu ukur oleh rakyat dalam menilai sesuatu parti bukannya berdasarkan persepsi atau naratif yang dimainkan ketika musim pilihan raya.

Katanya, BN juga kekal mempertahankan prinsip yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai asas perjuangan parti.

“Apa yang telah tersimpul dan termaktub dalam Perlembagaan adalah perkara yang mesti kita junjung. Itu yang menjadi pegangan dan perjuangan kita selama ini.

“Pada saya, tindakan lebih penting daripada kata-kata. Rekod mentadbir negara itu sendiri sepatutnya menjadi kayu ukur kepada rakyat Malaysia dalam membuat penilaian,” tegas beliau.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya berkempen secara matang dan tidak memainkan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum, terutama ketika negara sedang melalui proses demokrasi menerusi pilihan raya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast