Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom

SEREMBAN – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak berkuasa sekali lagi sekiranya diperlukan susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).

Jamil Khir berkata, proses siasatan bukanlah sesuatu baharu buat dirinya kerana beliau telah melalui pelbagai siasatan sejak pertukaran kerajaan pada 2018 tiada sebab untuk mengelak daripada memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Menurut beliau, sebagai rakyat Malaysia, beliau menghormati undang-undang dan bersedia mematuhi sebarang proses yang ditetapkan.

“Saya bukan sekadar bersedia disiasat. Kalau mengikut aturan undang-undang, memang kita perlu memberi kerjasama.

“Sebenarnya sejak 2018 lagi saya sudah melalui pelbagai siasatan. Sebelum RCI pun saya sudah dipanggil untuk disiasat,” katanya kepada pemberita di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 semalam.

Mengulas lanjut, Jamil Khir tidak pernah berniat melarikan diri atau mengelakkan diri daripada sebarang proses perundangan.

“Kalau selepas ini ada lagi siasatan, saya tiada masalah. Takkan pula kita hendak lari. Saya rakyat Malaysia dan saya menghormati undang-undang negara,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh siasatan yang dijalankan selepas 2018, beliau telah memberikan kerjasama penuh kepada semua agensi berkaitan termasuk ketika dipanggil memberi keterangan kepada RCI.

“Proses tersebut sewajarnya dihormati oleh semua pihak kerana ia merupakan sebahagian daripada mekanisme semak dan imbang dalam sistem pentadbiran negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap sebarang tindakan susulan terhadap laporan RCI dilakukan berdasarkan fakta dan bukti yang terkandung dalam laporan tersebut bukannya dipengaruhi persepsi politik.

“Saya berharap rakyat membaca sendiri laporan itu. Jangan hanya mendengar dakwaan atau persepsi yang dibentuk oleh pihak tertentu. Nilailah berdasarkan kandungan sebenar laporan yang telah didedahkan,” katanya.

Beliau turut mengulangi pendiriannya bahawa laporan RCI tidak membuat dapatan mengenai dakwaan berlakunya kecurian atau penyelewengan wang TH sebagaimana yang sering diperkatakan dalam polemik politik sebelum ini.

“Sebagai individu yang turut dipanggil memberi keterangan kepada suruhanjaya berkenaan, saya yakin proses yang dijalankan telah memberi ruang kepada semua pihak untuk menjelaskan kedudukan sebenar,” katanya.

Beliau berharap siasatan atau tindakan yang diambil tidak dipengaruhi sentimen politik sebaliknya berlandaskan prinsip keadilan dan fakta yang boleh dibuktikan.

“Kalau undang-undang mengatakan perlu disiasat, kita ikutlah undang-undang tetapi biarlah semua proses itu berjalan secara adil, telus dan berdasarkan bukti, bukan kerana persepsi atau tekanan politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast