Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyantuni penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Sungai Raya, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 30 JANUARI 2026.

PORT DICKSON – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin kekal optimis gabungan parti itu mampu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Menteri Besar yang juga calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu turut berkeyakinan PH masih mempunyai sokongan yang besar dalam kalangan rakyat negeri itu.

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson yakin PH mampu mendapat memenangi 19 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan, Sabtu ini.

“Alhamdulillah setakat pagi ini, saya masih senyum lagi, dan insya-Allah kita akan teruskan usaha kita hingga hari terakhir.

“Kalau dapat 19 kerusi pun PH menang, tapi kalau dapat hingga 25 kerusi lagi kita bersyukur,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Aminuddin ditanya berkenaan keyakinan beliau terhadap kemampuan PH memenangi PRN Negeri Sembilan ke-16 ketika tempoh berkempen masih berbaki kira-kira dua hari lagi.

Sementara itu, beliau berkata, PH menerima dan mengakui apa jua keputusan yang dibuat rakyat Negeri Sembilan pada hari penentuan, Sabtu ini.

Bagaimanapun, tambahnya, sehingga keputusan rasmi PRN itu diumumkan, beliau tidak mahu mendahului keputusan yang dibuat rakyat.

“Ini hak rakyat, saya tak nak mendahului mereka. Mereka boleh berubah. Malam ini pun mereka boleh berubah. Pagi hari mengundi pun mereka boleh berubah sokongan.

“Jadi ini antara yang perlu kita hormat,” katanya.

Tambah Aminuddin, sebagai calon yang bertanding, beliau bertanggungjawab memastikan seluruh jentera PH kekal bersemangat dan berkeyakinan sehingga pada hari pengundian.

“Jika jentera kita memang mempunyai moral yang tinggi, tak perlu kita perkatakan bahawa kita menang sebelum lagi kita berlawan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast